BINTANG Paris Saint-Germain, Neymar meluahkan emosinya di laman sosial berhubung kritikan yang sering diterima, selepas diketepikan ekoran mengalami kecederaan. Pemain antarabangsa Brazil itu meluahkan kekecewaan yang terbuku di dalam hatinya menerusi laman Instagram selepas tidak berpeluang bertemu bekas kelabnya, Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara, minggu depan. Neymar diketepikan kira-kira empat minggu susulan mengalami kecederaan pangkal paha selepas diasak pada aksi bertemu Caen. Dalam hantaran terbaharunya di laman sosial itu, Neymar menulis mengenai kesedihan dengan situasi dialaminya. "Kesedihan itu hebat, kesakitannya terlalu pedih dan tangisannya berterusan. Sekali lagi, saya akan berhenti seketika untuk melakukan perkara yang paling saya gemari dalam hidup, iaitu bermain bola sepak. "Kadangkala saya tidak selesa kerana corak permainan saya, saya suka menggelecek dan akhirnya saya sentiasa diserang. Saya tidak tahu jika masalah itu kerana saya atau cara saya bermain di atas padang... ini membuat saya kesedihan. "Ia menyedihkan apabila mendengar daripada pemain, jurulatih, pengulas berkata 'dia perlu ditewaskan, ' 'sentiasa jatuh, ' 'budak kecil yang suka menangis', 'anak manja' dan sebagainya.' "Jujurnya, ini menyedihkan saya dan saya tidak tahu berapa lama saya mampu bertahan. Saya hanya mahu bermain bola sepak dengan gembira. Itu sahaja." katanya. - Goal.com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!