CRISTIANO Ronaldo dan teman wanitanya, Georgina Rodriguez tampil memberi sumbangan untuk membiayai kos rawatan kanser seorang kanak-kanak. Tomas yang berusia 7 tahun dan berasal dari Portugal didiagnos menghidap kanser neuroblastoma pada September tahun lalu. Selepas situasi Tomas makin memburuk, ibu bapa kanak-kanak tersebut merayu sumbangan ramai untuk menampung kos rawatan anak mereka. Pemain Juventus itu dan teman wanitanya kemudian tampil menghulurkan bantuan yang diperlukan untuk rawatan Tomas. Dalam mesej ringkas yang dimuat naik dalam media sosial, adik Georgina, Ivana, mengesahkan sumbangan kewangan pasangan itu. Tomas kini dimasukkan ke Hospital D’Hebron di Barcelona untuk ujian dan konsultasi onkologi. Ronaldo, 36, bukanlah asing dengan derma untuk aktiviti kebajikan. Mac lalu ketika pandemik Covid-19 mula menyerang Eropah, Ronaldo dan ejen Jorge Mendes bekerjasama untuk menyumbangkan £1 juta (RM5.6 juta) untuk membantu hospital memerangi virus tersebut. Bintang antarabangsa Portugal itu juga merupakan duta untuk Save the Children, Unicef dan World Vision. - Thesun.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!