PASUKAN England menerima ucapan 'Semoga berjaya' daripada Ratu Elizabeth II menjelang aksi final Euro 2020 menentang Itali di Wembley, pada Isnin. Skuad The Three Lions layak ke final Kejuaraan Eropah buat kali pertama dan menamatkan penantian 55 tahun untuk beraksi di final kejohanan utama. Ratu Elizabeth menyerahkan Piala Dunia kepada kapten England, Bobby Moore apabila mereka menang satu-satunya trofi utama ketika menewaskan Jerman Barat di Wembley pada 1966. "55 tahun lalu, saya bertuah dapat menyerahkan Piala Dunia kepada Bobby Moore dan menyaksikan makna trofi itu buat pemain, pengurusan dan pasukan sokongan apabila mara ke final dan menang piala utama bola sepak. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Saya mahu menyampaikan ucapan tahniah saya dan keluarga kepada pasukan yang layak ke final Kejuaraan Eropah, dan menghantar ucapan selamat ini untuk final esok dengan harapan sejarah akan tercipta bukan hanya mengenai kejayaan, tetapi semangat, komitmen dan kebanggaan yang kamu pamerkan," tulisnya menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Istana Windsor. Sementara itu, pengendali pasukan England, Gareth Southgate dalam reaksinya menghargai ucapan berkenaan dan berjanji untuk membawa pulang trofi kejuaraan. "Esok, kami beraksi di final dan kami di sini untuk menang. Penting bagaimana kita mewakili rakyat dan legasi yang ada tetapi sekarang kita mahu membawa pulang piala untuk semua," katanya. - Goal.com Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!