BEKAS tonggak pertahanan Manchester City, Pablo Zabaleta berpendapat bahawa sekarang adalah masa yang paling sesuai buat Harry Kane untuk meninggalkan Tottenham Hotspur dan segera berpindah ke Stadium Etihad sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 31 Ogos. Spurs menewaskan Man.City 1-0 dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu menerusi jaringan Son Heung Min, yang menyaksikan Kane tidak disenaraikan dalam skuad kendalian Nuno Espirito Santo. The Citizens yang juga juara bertahan EPL itu kini telah tewas dalam tiga perlawanan terakhir mereka tanpa menjaringkan gol, termasuk kekalahan kepada Chelsea dalam aksi final Liga Juara-Juara dan juga ketika berdepan Leicester City dalam aksi Perisai Komuniti. ARTIKEL BERKAITAN: "Kane harus siap sedia.." Pengurus Spurs beri bayangan masa depan Kane ARTIKEL BERKAITAN: Aubameyang enggan beri harapan palsu buat Barcelona, takkan tinggalkan Arsenal melainkan.... Pengendali Man.City, Pep Guardiola kini terdesak untuk mencari penggempur baharu bagi menggantikan Sergio Aguero yang berpindah ke Barcelona Mei lalu. Kane telah beberapa kali dikaitkan dengan perpindahan mega ke Etihad dan Zabaleta berharap dapat menyasikan penyerang prolifik itu menyarung jersi The Citizens sebelum jendela perpindahan berakhir. "Kita akan melihat sama ada wang itu ada dan akan dibelanjakan untuk Harry Kane tetapi terus terang, ia adalah sesuatu yang menyeronokkan untuk melihatnya bermain bersama Man.City. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] “Dia berada di saat yang tepat untuk berpindah ke kelab lain dan merasai pengalaman yang berbeza... Apabila anda lihat pasukan-pasukan teratas liga, mereka akan mencari pemain yang mampu menjaringkan 25 gol semusim, ini bermakna anda sentiasa memerlukan pemain seperti itu. “Jelas Sergio (Aguero) meninggalkan kelab dan mereka hanya mempunyai Gabriel Jesus sebagai penyerang tunggal."Kita semua tahu kualiti Kane jika anda mahu memenangi piala, dan dia tahu dia sudah cukup berjaya untuk Spurs dan jika dia mahu berpindah, mungkin Man.City adalah salah satu kelab tersebut," katanya kepada agensi berita PA. Guardiola sebelum ini telah mengesahkan minat Man.City terhadap kapten England itu, tetapi menegaskan segala-galanya tidak akan dapat direalisasikan seandainya Sours tidak mahu untuk memulakan rundingan. Pengerusi Tottenham, Daniel Levy sebelum ini dilaporkan telah meletakkan tanda harga 160 juta pound (RM932 juta) bagi mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan Kane termasuk Man.City. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!