suria

"Saya hilang harapan..." Juara karate Afghanistan bimbang karier atlet wanita terkubur

Ameena ketika menjalani latihan rutin di Refugee Shotokan Club Dojo di Cisarua, Jawa Barat, Indonesia.

"SAYA berasa sangat sengsara. Saya hilang harapan seperti mana rakyat di negara saya yang turut hilang harapan," itu luahan kata juara karate dari Afganistan, Meena Asadi yang kini menetap di Indonesia.

Memetik laporan Reuters, Meena turut meluahkan rasa bimbang terhadap rakan altet wanita di tanah airnya yang berkemungkinan berdepan dengan kemusnahan karier dalam bidang sukan selepas Taliban kembali berkuasa di negara itu.

Meena meninggalkan Afganistan ketika berusia 12 tahun bagi memulakan latihan dalam sukan karate di Pakistan sebelum mewakili tanah airnya pada 2010 di Sukan Asia Selatan.

ARTIKEL BERKAITAN : Pernah gatih basikal ke pusat latihan...Daripada ‘nobody’ kepada ‘somebody'

Selepas setahun, dia kembali ke Kabul dan membuka pusat latihan namun ia tidak bertahan lama kerana terpaksa melarikan diri ke Indonesia bersama suami dan anak perempuannya susulan keganasan yang berlaku di negaranya ketika itu.

"Semua pencapaian dan kejayaan telah hancur, dan kini situasi akan menjadi lebih gelap untuk semua rakyat terutamanya bagi golongan wanita dan gadis," katanya.

Minggu ini, atlet teakwondo, Zakia Khudadadi mengakui impiannya menjadi pesaing wanita pertama Afghanistan di Sukan Paralimpik hancur berikutan pergolakan di Kabul.

"Bagi atlet wanita semuanya telah berakhir," kata Meena yang merupakan atlet wanita tunggal yang mewakili Afghanistan pada Kejuaraan Karate Asia Selatan 2012, di mana dia memenangi dua pingat perak.

Biarpun pemimpin Taliban berusaha meyakinkan rakyat negara itu dan masyarakat antarabangsa bahawa gadis dan wanita akan mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan dan bekerja, namun Meena masih meraguinya.

"Mereka adalah ekstremis, dan mereka tidak mempercayai hak asasi manusia atau hak wanita.

"Mereka tidak akan pernah berubah... mereka adalah Taliban yang sama.," kata Meena.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Meena Asadi, Afghanistan, Taliban, karate

Artikel Lain