CRISTIANO Ronaldo terus hangat diperkatakan bakal meninggalkan Juventus dengan beberapa kelab besar di Eropah dikatakan menunjukkan minat mendapatkan khidmat penyerang yang dianggap antara terbaik di dunia itu. Terdapat beberapa laporan yang memetik ejennya, Jorge Mendes sudah pun dihubungi oleh beberapa kelab utama dan salah satunya termasuk kepulangan semula Ronaldo ke Manchester United. Malah spekulasi bertambah kencang selepas pengendali Juventus, Massimiliano Allegri sekadar meletakkan Ronaldo di bangku simpanan ketika seri 2-2 dengan Udinese dalam aksi Liga Itali (Serie A) semalam. Memetik semula kenyataan Ronaldo sebelum ini, kapten Portugal itu pernah memberikan bayangan akan kembali ke Old Trafford. ARTIKEL BERKAITAN: Bintang Real Madrid kerap mesej Mbappe - "Bro, jomlah main bersama..." “Saya menjalinkan hubungan baik dan saya masih lagi berhubung dengan mereka (Man.United). Bukan hanya dengan pemain malah kesemua kakitangan kelab. “Ia sudah seperti keluarga kedua saya. Saya tidak akan lupakan layanan baik mereka kepada saya. Saya tidak akan lupakan. “Saya sayangkan Manchester dan akan kembali. Saya tidak tahu dan kamu juga tidak tahu," kata Ronaldo sekitar 2014. Dalam temubual lain, Ronaldo juga dilaporkan pernah berkata: “Saya sayangkan Manchester dan semua orang tahu tentangnya. Manchester sentiasa berada dalam hati saya. “Penyokongnya cukup hebat dan saya berharap dalam kembali suatu hari nanti. “Tidak ada yang mustahil,” katanya ketika ditanya kemungkinan akan kembali menyarung jersi United.Tatkala jutaan peminat The Red Devils mahukan Ronaldo kembali, lain pula ceritanya bagi bagi pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer yang sekadar membisu seribu bahasa. Bagi Solksjaer, dia lebih gemar bercakap sesuatu yang positif tentang Ronaldo namun tidak pernah menunjukkan minat secara jelas untuk kembali mengikat kontrak bersama pemenang Ballon d'Or sebanyak lima kali itu.Dalam pada itu, Naib Presiden Juventus, Pavel Nedved pantas meredakan segala spekulasi yang timbul membabitkan pemain 36 tahun itu ketika ini. “Jangan melihat kepada sesuatu yang sensasi jika ia masih tidak berlaku. Ia (merehatkan Ronaldo semalam) adalah keputusan bersama jurulatih kerana kami masih lagi berada di awal musim. “Ia sesuatu yang normal terutamanya apabila dia (Ronaldo) tidak cukup cergas,” katanya semasa merujuk keputusan Allegri meletakkan Ronaldo di bangku simpanan semalam. - Mirror Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI