LIGA Perdana Inggeris (EPL) mengumumkan pada Selasa bahawa kelabnya tidak akan melepaskan pemain untuk perlawanan antarabangsa di negara dalam senarai merah, bulan depan. Ini berikutan pemain ke negara senarai merah harus mengikuti peraturan kuarantin Covid-19 di United Kingdom (UK), sehingga menjejaskan penglibatan mereka dalam beberapa perlawanan kelab. Sehubungan itu, larangan menyeluruh dikenakan ke atas perlawanan antarabangsa di negara berkenaan, pada September. "Kelab Liga Perdana hari ini dengan berat hati tetapi sebulat suara memutuskan untuk tidak melepaskan pemain untuk perlawanan antarabangsa yang dimainkan di negara dalam senarai merah, bulan depan. "Keputusan tersebut akan dilaksanakan ke atas hampir 60 pemain dari 19 kelab Liga Perdana yang akan melakukan perjalanan ke 26 negara senarai merah pada September," menurut EPL dalam satu kenyataan di laman web mereka. Persatuan Bola Sepak Mesir pada Isnin berkata, Liverpool tidak akan melepaskan Mohamed Salah untuk kelayakan Piala Dunia akan datang, menentang Angola dan Gabon disebabkan peraturan tersebut. Turut dilaporkan Liverpool akan menolak untuk melepaskan Fabinho, Roberto Firmino dan Alisson Becker untuk tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia Brazil akan datang. Mesir dan Brazil berada dalam senarai merah oleh kerajaan UK, dengan kuarantin wajib selama 10 hari bagi pelancong yang pulang dari negara-negara tersebut. Dengan ketegangan yang semakin meningkat mengenai isu kelab berbanding negara, EPL mengambil langkah menangani masalah tersebut. -NDTV Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI