BIDANG e-sukan sudah lama bertapak di seluruh dunia. Sebut sahaja permainan video seperti Counter Strike, Dota, League of Legends, tentunya memiliki ramai peminatnya yang tersendiri. Menurut laman sesawang Newzoo, e-sukan dijangka merekodkan nilai pendapatan sebanyak AS$1.79 bilion (RM7.44 bilion) pada 2022. Nilai berkenaan termasuklah hak cipta media, barangan berbentuk cenderahati, penjualan tiket, pengiklanan, penajaan dan bayaran penerbit permainan video. Malaysia juga tidak terlepas daripada 'fenomena' e-sukan ini. Malahan di negara ini, banyak pasukan e-sukan ditubuhkan antaranya Geek Fam, Berjaya Dragons dan Orange Esports. Bagi bekas atlet e-sukan, Mus'ab Suhaimi, 38, dia memulakan kariernya pada 2001 bersama pasukan Natural Ones yang bertumpu kepada Counter Strike dan menggunakan nama samaran sebagai ZonaN. "Di Malaysia, Counter Strike ialah permainan video yang sering diadakan kejohanan. Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja kafe siber akan menganjurkan pertandingan. "Ketika itu hadiah yang ditawarkan sekitar RM2,000 kepada juara. Kami menjelajah satu negara untuk bermain pelbagai kejohanan dari Pulau Pinang hingga ke Johor," ujarnya. Namun, kerjaya sebagai seorang atlet e-sukan juga bergantung kepada beberapa faktor seperti aspek kesihatan, kerjaya dan peribadi. Ada atlet yang terpaksa bersara awal akibat kecederaan atau mendirikan rumah tangga. Mus'ab mula menceburi bidang terbabit pada usia 19 tahun dan bersara ketika berumur 23 tahun atas beberapa kekangan. "Pada waktu itu, e-sukan sukar untuk dijadikan kerjaya kerana hadiah kemenangan yang sedikit, kurang penaja, tiada organisasi yang boleh menguruskan pasukan atau individu untuk e-sukan. "Umur pun makin meningkat, jadi bagi meneruskan kehidupan, saya memilih untuk terus bekerja dan berkahwin," katanya kepada Majoriti. Mus'ab (baju merah) bersama rakannya bermain Counter Striker di Pusat Konvensyen Sunway, Selangor pada 2017. — Mus'ab Suhaimi Menurut Mus'ab lagi, bidang e-sukan pada masa kini jauh berbeza berbanding sewaktu era penglibatannya dalam dunia terbabit. "Sekarang e-sukan lebih banyak pendedahan dan tajaan. Dulu kami mengharapkan hadiah pertandingan tetapi sekarang dengan peminat e-sukan yang ramai, ada banyak cara untuk menjadikan e-sukan sebagai kerjaya. "Sekarang pemain boleh memilih untuk stream atau menjadi content creator di Facebook, YouTube, TikTok, Twitch dan pelbagai lagi media sosial untuk menjadi rakan kongsi supaya memperoleh pendapatan. Saya dapat rasakan trend ini akan terus meningkat," jelasnya lagi. Beliau turut mengatakan atlet e-sukan pada masa kini sewajarnya menjadi contoh yang baik kepada orang lain terutamanya para peminat. "Teringat kata-kata cikgu saya, manusia yang baik ialah manusia yang dapat berikan manfaat kepada orang lain. Jadi, berilah manfaat yang baik-baik kepada orang lain walaupun anda seorang pemain e-sukan profesional. "Kalau zaman saya dulu, ramai orang cakap main permainan video tiada manfaat. Sekarang ni giliran generasi baharu pula untuk membuktikan e-sukan ada manfaatnya. "Walaupon dulu saya bermain e-sukan sepenuh masa, Alhamdulillah saya mempunyai kehidupan yang baik, memiliki kerja dan mempunyai lima orang cahaya mata, semua atas diri masing-masing," katanya. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI