suria

Mentang-mentang kelab dia, naib presiden Suriname turun beraksi jadi kapten

RONNIE Brunswijk ambil keputusan turun beraksi mewakili kelab miliknya, Inter Moengotapoe dalam saingan Liga Concacaf menentang Olimpia. — Agensi

KETIKA usianya sudah pun mencapai 60 tahun, Naib Presiden Suriname, Ronnie Brunswijk ambil keputusan ‘luar kotak’ untuk turun beraksi mewakili kelab miliknya, Inter Moengotapoe dalam saingan Liga Concacaf.

Brunswijk turun beraksi pada usia 60 tahun 198 hari, muncul pemain paling tua yang menyertai pertandingan kelab di pentas antarabangsa.

Presiden kelab itu memutuskan untuk turut serta dalam perlawanan pusingan 16 terbaik menentang Olimpia yang berlangsung pada malam Selasa.

Tidak hanya bermain, aksi di stadium yang kebetulan turut dinamakan dengan namanya juga menyaksikan Brunswijk menggalas tugas selaku kapten pasukan.

Pada perlawanan yang berkesudahan Inter Moengotapoe tewas 6-0 itu juga menyaksikan Brunswijk beraksi di jentera serangan bersama anaknya, Damian.

Menerusi klip video stesen televisyen tempatan menunjukkan Brunswijk tidak banyak bergerak dan hanya menjerit memberikan arahan serta memarahi pemain yang tidak menghantar bola kepadanya.

Sepanjang 54 minit bermain, Brunswijk hanya melengkapkan 14 daripada 17 hantaran.

Dalam video berasingan menunjukkan Brunswijk berada di bilik persalinan Olimpia dan dilihat menghulurkan wang.

Brunswijk cukup dikenali dan New York Times menggambarkannya sebagai ‘Robin Hood’ Suriname kerana bertindak mengagihkan wang yang diperolehinya menerusi kegiatan jenayah kepada penduduk miskin, termasuk dengan cara melempar dari helikopter miliknya. – Daily Mail

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Artikel Lain