suria

Pelumba muda perlu fikir risiko - Rossi

ROSSI turut memberi saranan agar FIM mempertingkatkan tahap keselamatan pelumba MotoGP. — AFP

JUARA dunia MotoGP sembilan kali, Valentino Rossi mengingatkan pelumba muda sukan berkenaan agar memikirkan sebarang risiko ketika berlumba.

Rossi atau The Doctor memberi peringatan berkenaan selepas insiden membabitkan pelumba Supersport 300, Dean Berta Vinales maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan di litar Jerez, Sepanyol pada minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rossi langsung tak rindu sesi ujian MotoGP

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu terlepas saman, Rossi akui tak suka jadi figura terkenal

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, para pelumba muda menjadi sangat agresif dan sejujurnya, ia akan membuatkan perlumbaan menjadi lebih menakutkan kerana mereka berhabis-habisan berlumba tanpa memikirkan sebarang risiko.

"Pada pandangan saya, semua pelumba harus faham bahawa apa yang kita lakukan ini adalah berbahaya dan anda mungkin tidak bernasib baik seperti yang berlaku dalam tragedi tersebut," kata Rossi.

Dalam kejadian terbabit, Dean Berta yang juga merupakan sepupu kepada pelumba MotoGP, Maverick Vinales terbabit dalam kemalangan bersama-sama empat pelumba lain iaitu Alejandro Carrion, Daniel Mogeda, Harry Khouri dan Yeray Ruiz.

Kesemua mereka menerima rawatan segera namun Dean Berta yang baru berusia 15 tahun tidak dapat diselamatkan.

Ujar Rossi, badan induk sukan permotoran antarabangsa, FIM perlu mengambil langkah untuk mengetatkan tahap keselamatan perlumbaan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

"Apa yang terjadi di Jerez adalah satu tragedi besar, insiden seperti itu berlaku tiga kali pada tahun ini dan melibatkan pelumba muda.

"Situasi paling berbahaya dalam sukan ini adalah apabila ada pelumba jatuh dan terdapat pelumba di belakangnya yang berada pada jarak dekat.

"Risiko untuk situasi tersebut berlaku adalah sangat tinggi dan salah satu langkah kita boleh lakukan adalah mengetatkan peraturan bendera kuning. Ada dinamik pelanggaran tetapi berkemungkinan akan berbeza tetapi saya fikir ia boleh dipertingkatkan dalam soal keselamatan," jelasnya. — Detik

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Rossi, MotoGP, Vinales, Supersport 300, Jerez

Artikel Lain