QATAR akan menganjurkan Grand Prix Formula 1 buat kali pertama pada November ini bagi menggantikan GP Australia yang dibatalkan, demikian umum penganjur. Perlumbaan akan berlangsung di Litar Antarabangsa Losail di utara Doha pada 21 November dan akan menjadi bahagian pertama untuk pengakhiran musim Timur Tengah dan diikuti dengan perlumbaan di Arab Saudi dan musim akhir Abu Dhabi Grand Prix. Qatar juga telah menandatangani perjanjian 10 tahun untuk menjadi tuan rumah Formula 1 dari tahun 2023. GP Australia yang secara tradisinya menjadi pembuka musim, telah ditangguhkan ke penghujung musim untuk memastikan ia dapat berjalan dengan lancar meskipun terdapat sekatan Covid-19. Walaupun begitu, ia dibatalkan untuk tahun kedua berturut-turut. "Kami sangat gembira menyambut Qatar ke kalendar Formula 1 musim ini dan untuk jangka panjang dari 2023. "Kami telah tunjukkan yang kami dapat terus menyesuaikan diri dan ada minat besar dalam sukan kami serta harapan dari beberapa tempat untuk memiliki Grand Prix. "Usaha besar dari semua pasukan, F1 dan FIA telah memungkinkan untuk menganjurkan 22 perlumbaan, sesuatu yang sangat mengagumkan dalam tahun yang mencabar dan sesuatu yang dapat kita semua banggakan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1 Stefano Domenicali. Litar Losail dibuka pada tahun 2004 dan menjadi tuan rumah Moto GP sejak itu, di bawah lampu sorot yang juga akan digunakan untuk Grand Prix. -NDTV Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI