suria

Ibrahimovic dedah Manchester United kedekut, gaji pernah ditolak RM5.50 kerana sebotol jus

Ibrahimovic mendedahkan perkara tersebut dalam autobiografi baharunya, Adrenalin.

ZLATAN Ibrahimovic mengutuk Manchester United apabila mendedahkan gajinya pernah ditolak £1 (RM5.50) hanya kerana mengambil minuman jus di mini bar dekat sebuah hotel.

Penyerang AC Milan berusia 40 tahun itu berhijrah ke Old Trafford pada 2016 menerusi perpindahan secara percuma dari Paris Saint-Germain (PSG).

Dia meraikan kejayaan bersama Red Devils sebelum mengalami kecederaan yang kemudian menamatkan kariernya bersama kelab gergasi itu.

Bintang Sweden itu menjaringkan 29 gol sepanjang 53 penampilan dan membantu United memenangi Perisai Komuniti, Piala Liga dan muncul juara Liga Europa.

Bagaimanapun Ibrahimovic mengakui berasa terkejut apabila dia mendapati gajinya ditolak oleh kelab.

Ibrahimovic menceritakan mengenai perkara itu dalam autobiografi baharunya, Adrenalin.

"Satu hari saya di hotel bersama pasukan sebelum turun beraksi. Saya berasa haus, jadi saya buka mini bar dan minum minuman jus.

"Kemudian kami turun beraksi dan pulang. Masa kemudian berlalu dan saya terima slip gaji. Saya mula berasa pelik mengapa ditolak £1 daripada gaji saya.

"Kemudian saya bertanya pengurus pasukan dan dia berkata, ia disebabkan minuman jus yang saya ambil dari mini bar itu.

"Saya terkejut tetapi pengurus itu menyatakan di kelab ini jika anda ambil sesuatu, maka anda perlu membayarnya," katanya. - Thesun.co.uk

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain