KEMELUT yang melanda Lee Zii Jia nampaknya hampir menemui jalan pengakhiran. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Selasa mengumumkan mereka telah mencapai penyelesaian menang-menang dengan Zii Jia berhubung rayuan penggantungan selama dua tahun selepas dia meninggalkan pasukan kebangsaan lebih awal untuk menjadi pemain profesional. ARTIKEL BERKAITAN: Zii Jia kemuka rayuan kepada BAM Kedua-dua BAM dan Zii Jia enggan menghuraikan butiran mesyuarat, kerana keputusan itu masih menunggu kelulusan Majlis BAM dan hanya akan diumumkan minggu depan. Tetapi semua tanda menunjukkan Zii Jia dilepaskan untuk bermain secara bebas dalam pelbagai syarat. "Mesyuarat hari ini adalah sangat positif, saya fikir kami telah menemui jalan ke hadapan untuk kedua-dua Lee Zii Jia dan BAM," kata timbalan presiden II BAM Datuk Seri Jaharbedeen Mohd Yunos. “Dan satu-satunya perkara yang tinggal untuk kami sekarang ialah mengemukakan perkara itu kepada majlis BAM untuk pengesahan rasmi dan akan membuat pengumuman rasmi minggu depan. "Tetapi yakinlah bahawa ia adalah kesimpulan yang sangat baik yang boleh diterima oleh BAM dan Lee Zii Jia," ujarnya. Zii Jia, yang menghadiri mesyuarat bersama wakilnya termasuk adik Zii Yii, kelihatan berpuas hati dengan keputusan mesyuarat itu. "Saya datang ke sini untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung rayuan saya daripada Datuk Seri (Jaharbedeen) dan kami mendapat kesimpulan yang sangat positif yang BAM akan umumkan minggu depan," kata Zii Jia. - The Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI