SAINGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan Manchester United sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Southampton di laman sendiri pada Sabtu. Namun apa yang lebih menarik perhatian netizen adalah 'insiden pelik' di mana Cristiano Ronaldo kelihatan meludah ke arah rakan sepasukan, Anthony Elanga. Rakaman dari BT Sport menunjukkan pemenang Ballon d'Or sebanyak lima kali itu meludah ketika berdiri di belakang Elanga, dengan beberapa air liur kelihatan seolah-olah 'hinggap' di baju pemain remaja itu. Elanga bagaimanapun tidak menyedari apa yang telah berlaku, tetapi rakaman itu menjadi tular di media sosial, menyebabkan penonton bingung dengan apa yang mereka saksikan. "Ini perlu dijelaskan, adakah Ronaldo benar-benar meludah Anthony Elanga. Adakah United bermain seteruk itu?" demikian antara reaksi netizen terhadap klip yang tular di media sosial. Bagaimanapun, reaksi Elanga yang berkelakuan seperti tiada apa-apa yang berlaku menunjukkan insiden itu tidak lebih sekadar ilusi optik yang dihasilkan oleh sudut kamera, seperti yang didebatkan oleh beberapa pengguna Twitter lain. - Dailymail Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI