suria

Salam takziah... Legenda takraw Rehan Mohamad Din meninggal dunia

Rehan meninggal dunia pada usia 54 tahun.

PERGINYA sebutir bintang sukan. Legenda sepak takraw negara, Rehan Mohamad Din meninggal dunia di kediamannya di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor, pada Ahad malam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di laman Facebook persatuan tersebut.

Dilaporkan, Allahyaram yang berusia 54 tahun meninggal dunia akibat sesak nafas dan jangkitan kuman dalam paru-paru.

"Salam takziah buat keluarga Allahyarham Rehan Mohamad Din (Lagenda Emas Negara) yang telah kembali ke rahmatullah pada 29 Mei 2022 di kediaman keluarganya di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor Darul Ta'zim.

"PSM mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan jasa beliau ketika mewakili negara sebagai pemain dan juga jurulatih yang amat dihargai dan akan dikenang sepanjang zaman. Al Fatihah," menurut kenyataan itu di Facebook.

Dilaporkan, Allahyarham Rehan meninggalkan seorang balu dan enam anak.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 3, pada Isnin.

Allahyarham merupakan pemenang dua pingat emas regu berpasukan dan antara regu Sukan Asia Beijing 1990, bergandingan dengan Nordin Sabarudin (tekong) dan Abd Malik Samsudin (apit kiri pengumpan) menewaskan Thailand 2-1 dan 2-0 dalam perlawanan akhir.

Rehan turut meraih dua pingat emas Sukan SEA Manila 1991 dan sebutir emas antara regu Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 serta membantu merampas Piala Raja Thailand 1988 (berpasukan) daripada musuh tradisi itu di Bangkok.

Dia dianggap Raja Libas 90-an Asia dan dunia, manakala apit kanan seperjuangannya pada era itu ialah Shaari Hashim, Raziman Hassan, Baharum Jahar, Iskandar Arshad dan Zabidi Sharif.

Anak jati Johor Bahru ini juga pernah dilantik sebagai penolong jurulatih skuad wanita negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain