STADIUM Nasional Bukit Jalil akan ditutup mulai Rabu, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan kerja balik pulih stadium dimulakan. "Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius terhadap isu kualiti padang serta fasiliti Stadium Nasional Bukit Jalil dan tidak boleh terus memperjudikan maruah negara dengan melengahkan lagi tindakan yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa. Ahmad Faizal berkata, perancangan awal KBS adalah menutup Stadium Nasional Bukit Jalil pada penghujung Mac 2023 untuk memulakan kerja-kerja baik pulih. Bagaimanapun katanya, keadaan semasa memerlukan tindakan yang lebih segera. "Isu kualiti padang serta fasilitinya adalah isu legasi yang harus ditangani secara pantas dan tuntas," katanya. Pada Sabtu lalu, hujan lebat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil sejak petang sehingga menyaksikan permukaan padang ditakungi air. Keadaan itu menyebabkan petugas stadium terpaksa menolak air secara 'manual' menggunakan penyodok dan kadbod bagi memastikan permukaan padang dapat digunakan bagi aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI