suria

Ronaldo enggan jadi pemain gantian, tidak akan beraksi menentang Chelsea - Erik ten Hag

Ronaldo bakal digugurkan daripada skuad yang akan berkunjung ke Chelsea pada awal pagi Ahad ini.

ERIK ten Hag mengesahkan Cristiano Ronaldo enggan masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Tottenham Hotspur, awal pagi Khamis lalu.

Justeru ujarnya, bintang berusia 37 tahun itu kini tidak berlatih bersama pasukan utama.

Ronaldo tidak diturunkan pada perlawanan United menang 2-0 di tempat sendiri itu dan dia berjalan menuju ke terowong ketika perlawanan masih berbaki beberapa minit, selepas sekali lagi diketepikan di bangku simpanan oleh Ten Hag.

Penyerang Portugal itu bakal digugurkan daripada skuad yang akan berkunjung ke Chelsea pada awal pagi Ahad ini.

"Ya," jawab pengurus Manchester United itu ketika ditanya sama ada Ronaldo enggan masuk sebagai pemain gantian.

"Saya adalah pengurus yang bertanggungjawab terhadap budaya di sini dan saya meletakkan standard dan nilai serta saya perlu mengawal mereka. Dalam pasukan, kami ada nilai dan standard dan saya harus mengawalnya.

"Bola sepak adalah sukan berpasukan dan anda perlu memenuhi standard tertentu. Saya yang mengawalnya," katanya.

Ini bukan kali pertama Ronaldo meninggalkan stadium lebih awal sebelum perlawanan United berakhir kerana dia turut berbuat demikian sebelum wisel penamat perlawanan pramusim menentang Rayo Vallecano. - Reuters

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain