PADA minggu lalu, Cristiano Ronaldo dan Manchester United telah mencapai kata sepakat untuk berpisah haluan dalam arena bola sepak. Bintang Portugal yang berumur 37 itu kini sedang bermain dalam saingan Piala Dunia 2022 di Qatar. Dalam kesibukkannya, Ronaldo dilihat masih sempat memindahkan kereta mewahnya iaitu Cadillac Escalade dan Bentley Flying Spur yang masing-masing berharga 150,000 euro (RM692,000) dan 300,000 euro (RM1.3 juta). Pengamal media melaporkan telah melihat kenderaan tersebut dikeluarkan dari rumah sewa Ronaldo di Alderly Edge, Cheshire yang bernilai 5 juta euro (RM 23 juta). Menurut sumber, Ronaldo sangat menyayangi keretanya dan apabila perpisahannya bersama Manchester United telah diputuskan, dia terus memindahkan asetnya itu. "Dia melakukan perkara yang sama ketika meninggalkan Juventus untuk pergi ke Manchester United. "Georgina (pasangan Ronaldo) sedang menguruskan semuanya dan kemungkinan besar Ronaldo tidak akan kembali semula ke United Kingdom (UK)," kata sumber tersebut. Ronaldo mengakhiri musim keduanya bersama Manchester United secara pramatang melalui persetujuan bersama selepas dia menghadiri temu bual kontroversi dalam rancangan televisyen Piers Morgan. Dalam temu bual itu dia mengakui merasakan dirinya dikhianati Manchester United dan mengkritik pengurus kelab Erik ten Hag. -The Sun Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI