SON Heung-min menangis setelah harapan Korea Selatan untuk mara ke peringkat seterusnya dalam Piala Dunia 2022 semakin malap selepas pasukan Asia itu kalah kepada Ghana. Bagaimanapun, salah seorang staf dari pasukan jurulatih lawan tetap cuba untuk mengambil gambar selfie dengannya. Korea Selatan kalah 2-3 kepada Ghana pada perlawanan kedua mereka di Piala Dunia 2022, Isnin, malam, walaupun sempat menyamakan kedudukan 2-2 selepas tertinggal 0-2. Kekalahan ini bermaksud Korea Selatan harus mengalahkan Portugal dalam pertandingan terakhir Kumpulan H untuk menghidupkan peluang mara ke saingan seterusnya. Heung-min yang begitu sedih dengan keputusan tersebut tak mampu menyembunyikan air matanya tetapi berlaku kejadian menjengkelkan saat pemain Tottenham Hotspur itu menangis. Heung-min memalingkan mukanya apabila diajak selfie. Heung-min yang sedang bertinggung di padang cuba dihiburkan oleh beberapa pemain dan jurulatih Ghana, termasuk pembantu George Boateng. Ketika Boateng bercakap dengan Heung-min, seorang staf pasukan pelatih Ghana merangkul bintang Tottenham itu dan cuba mengambil selfie. Heung-min dilihat terus memalingkan mukanya dari kamera. Boateng kurang selesa dengan apa yang dilakukan oleh ahli pasukannya dan memintanya untuk berlalu pergi. Jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento pula dilayangkan kad merah oleh pengadil Anthony Taylor ketika perlawanan tamat. Kejadian bermula ketika Korea Selatan mendapat sepakan penjuru pada minit-minit terakhir yang mana satu mata sangat berharga bagi pasukan Taeguk Warriors itu yang masih berharap menempah slot 16 pasukan terakhir. Namun Taylor meniup wisel tamat perlawanan yang mana tendangan tersebut jika diambil mungkin menghasilkan gol dan mengubah kedudukan. Bento meluahkan kemarahannya terhadap Taylor kerana menganggap tindakannya tidak adil. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI