suria

Messi kesal gagal sempurnakan penalti, puji rakan-rakan bantu selamatkan pasukan

Messi gagal menyumbang gol ketika aksi Argentina menentang Poland. Foto: Getty.

LIONEL Messi mengakui dia berasa "jengkel" apabila tendangan penaltinya gagal ketika aksi pertembungan Kumpulan C melibatkan pasukan Argentina yang menentang Poland, pada Khamis.

Namun, Messi memuji rakan sepasukan kerana reaksi positif yang menyaksikan juara Amerika Selatan itu melakar kemenangan 2-0 untuk mara ke pusingan 16 menentang Australia.

Argentina, yang tewas pada aksi pembukaan Piala Dunia menentang Arab Saudi, menduduki tempat teratas kumpulan mereka selepas gol separuh masa kedua oleh Alexis Mac Allister dan Julian Alvarez membawa mereka menang 2-0 ke atas Poland.

ARTIKEL BERKAITAN:Piala Dunia 2022: Perlawanan terganggu gara-gara lelaki ceroboh padang bawa bendera pelangi

Selepas memulakan permainan di tempat kedua dan perlu menang untuk memastikan kelayakan, harapan Argentina bagaikan kabur apabila penjaga gol Poland Wojciech Szczesny menyelamatkan sepakan penalti Messi pada minit ke-39.

Jaringan Mac Allister pada minit ke-46 meletakkan Argentina di landasan untuk kemenangan, dan Messi berkata dia tidak pernah meragui Argentina akan menang walaupun tendangan penaltinya gagal.

"Saya kesal kerana terlepas sepakan penalti tetapi pasukan tampil lebih kuat selepas kesilapan saya.

"Pasukan yakin bahawa kami akan menang, ia adalah soal menjaringkan gol pertama. Selepas itu, baki permainan dimainkan seperti yang kami mahukan," ujarnya. - ESPN.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain