SEORANG usahawan Arab Saudi memenangi tiket untuk menyaksikan pertembungan antara Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam aksi persahabatan selepas membida AS$2.6 juta (RM11.25 juta). Perlawanan di Riyadh esok bakal menampilkan Paris Saint-Germain dibarisi Messi berdepan skuad pilihan kelab baharu Ronaldo, Al Nassr dan seterunya Al Hilal. Ia bakal menjadi perlawanan pertama Ronaldo di negara itu sejak menandatangani kontrak dengan Al Nassr. Pemenang lima kali Ballon d'Or itu akan membuat penampilan sulung di Liga Pro Saudi untuk Al Nassr pada Ahad. Bagi mempromosi perlawanan pertunjukan itu, Turki al-Sheikh, penasihat Mahkamad Diraja dan ketua bahagian hiburan Arab Saudi, mengumumkan lelongan amal untuk tiket istimewa yang akan memberikan peluang bergambar dengan pemain-pemain serta kebenaran memasuki bilik persalinan. Bidaan bermula dari 1 juta Riyal (RM1.15 juta) dan Mushref al-Ghamdi diumumkan pemenang selepas membida RM11.25 juta. Hasil lelongan akan disalurkan kepada kempen amal negara itu yang dikenali sebagai Ehsan. Selain Messi, bintang-bintang PSG lain yang dijangka akan beraksi adalah Kylian Mbappe dan Achraf Hakimi. Pemain pilihan Saudi termasuk Salem Al-Dawsari, yang menjaringkan gol kemenangan Arab Saudi ke atas Argentina di peringkat kumpulan Piala Dunia. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube