suria

Tunggakan gaji pemain Melaka dan Sarawak, Brendan Gan luah rasa kecewa... “Mereka juga ada keluarga“

Brendan Gan berharap ada sinar harapan untuk rakannya di Melaka United dan Sarawak United. Foto: THE STAR

PEMAIN tengah Selangor FC (SFC), Brendan Gan meluahkan rasa simpati terhadap situasi tunggakan gaji berbulan-bulan lamanya yang dihadapi oleh rakan seperjuangan mereka di pasukan Melaka United (MU) dan Sarawak United.

Pemain tengah kebangsaan itu mengakui dirinya boleh dianggap beruntung kerana menyertai pasukan 'The Red Giants' yang memiliki kedudukan kewangan yang stabil sekali gus dapat mengelak daripada berdepan situasi seperti dua pasukan terbabit.

"Sangat baik untuk berada dalam pasukan yang kewangannya stabil. Sedih untuk pemain yang berada dalam situasi terbabit (gaji tertunggak) kerana mereka ada keluarga dan bil yang perlu dibayar seperti orang lain.

"Kita terbabit dalam bola sepak dan di mana sesuatu yang berlaku meletakkan mereka dalam situasi itu sehingga tidak dapat membantu keluarga, ini adalah menyedihkan.

"Saya berharap Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) dapat membantu mereka untuk mendapatkan semula kerugian itu.

"Bagi kami, bagus untuk memiliki pengurusan yang memastikan setiap perbelanjaan itu berbaloi dan kebajikan pemain sentiasa terjaga. Ini adalah salah satu aspek positif menjadi sebahagian daripada pasukan ini (SFC)," katanya.

Terdahulu, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan dua pasukan yang tidak mendapat lesen bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2023 iaitu MU dan Sarawak United masih lagi 'berhutang' dengan pemain.

MU berdepan tunggakan berjumlah RM2.3 juta membabitkan tempoh setengah tahun bermula Julai hingga Disember 2022 yang menyaksikan pemain pasukan itu berdepan dengan situasi enam bulan tidak bergaji.

Jumlah tunggakan gaji pemain Sarawak United pula adalah lebih RM400,000 bagi tempoh empat bulan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain