suria

Pernah jadi rakan sepasukan Ronaldo, kini berkerjaya sebagai pramugara di awan biru

Pemain ini pernah menjadi rakan sepasukan Ronaldo dan kini bergelar pramugara. Foto : talkSPORT

PERNAH menjadi rakan sepasukan, kini masing-masing memilih haluan yang berbeza dalam kehidupan.

Begitulah kisahnya untuk bintang gergasi bola sepak, Cristiano Ronaldo dan mantan pemain bola sepak Portugal, Costinha.

Constinha yang kini berumur 37 tahun pernah membuat penampilan sulung di Portugal bersama Cristiano Ronaldo tetapi kini terbang di awan biru dengan menjadi pramugara.

Costinha pada awal kariernya sebagai pemain bola sepak.

Costinha dan Ronaldo bermain bersama untuk kejohanan bola sepak bawah 15 tahun dalam perlawanan Portugal menentang Afrika Selatan.

Costinha yang merupakan seorang pemain tengah bergandingan bersama Ronaldo dan berjaya menjaringkan gol dalam kemenangan tipis 2-1 ke atas Afrika Selatan.

Sejak perlawanan itu, Costinha dan Ronaldo berpisah untuk membina kehidupan baharu yang masing-masingnya berbeza seperti langit dan bumi.

Mengimbas kembali karier bola sepaknya, Costinha masih berbangga kerana dia diberi peluang membuat penampilan sulung bersama Ronaldo.

Antara anugerah dunia bola sepak yang berjaya dipungut Costinha.

"Saya fikir detik paling simbolik dalam karier bola sepak saya adalah perlawanan pertama untuk pasukan kebangsaan iaitu pasukan bawah 15 tahun. Sehingga hari ini, saya merinding apabila mendengar lagu kebangsaan.

"Sudah tentu, ia menjadi lebih simbolik kerana Ronaldo juga membuat penampilan sulungnya pada hari itu, walaupun pada ketika itu kami tidak tahu sejauh mana dia akan pergi.

"Pada masa itu, dia adalah pemain yang lebih komited dan sudah berada pada tahap yang lebih tinggi daripada yang lain," katanya.

Costinha kini menjadi seorang pramugara.

Jauh di sudut hati, Costinha sedar bukannya mudah untuk mencipta kerjaya dalam dunia bola sepak.

"Saya suka berfikiran positif. Setiap apa yang berlaku ada sebabnya. Kini, saya bertuah kerana mempunyai satu lagi profesion impian iaitu sebagai seorang pramugara," katanya.

Bekas pemain kelab Vitoria itu membuat 13 penampilan antarabangsa untuk pelbagai pasukan remaja Portugal dan sempat melangkah ke kejohanan bola sepak bawah 20 tahun.

Costinha menamatkan kerjayanya dalam bola sepak pada tahun 2011 selepas bermain untuk pasukan bola sepak divisyen bawah di Portugial dan Sepanyol. - talkSPORT

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain