KEHILANGAN bintang ragbi, Levi Davis terus menjadi tanda tanya dan dia dikhuatiri lemas di laut. Perkara itu disuarakan oleh keluarga pemain itu berikutan maklumat terkini daripada polis Sepanyol. Bekas pemain ragbi profesional berusia 24 tahun itu hilang sejak 29 Oktober di Barcelona. Telefonnya kali terakhir dikesan berada di stesen kereta api utama di bandar itu. David memuat naik dan memadamkan video di Instagram beberapa hari sebelum kehilangannya. Dia mendakwa telah diperas ugut berikutan penampilannya dalam The X Factor: Celebrity pada 2019. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada MailOnline pada Rabu, ibunya Julie berkata, dia dan rakan rapat anaknya, Richard Squire, telah bertemu dengan polis untuk mendapatkan maklumat terkini. "Usaha menyeluruh telah dilakukan untuk menjejaki pergerakan Levi pada malam 29 Oktober dan mereka (polis) dapat mengesahkan bahawa berikutan penampakan terakhirnya yang dilaporkan di Hard Rock Cafe, Levi berjalan kembali ke La Rambla dan memasuki pelabuhan komersial. "Telefonnya kali terakhir direkodkan pada awal pagi Sabtu 30 Oktober dengan menara telefon di hujung pelabuhan paling hampir dengan pintu masuk laut. "Laporan seorang lelaki di perairan yang dikesan oleh kakitangan di sebuah kapal persiaran memasuki pelabuhan pada 6.30 pagi 30 Oktober telah disiasat," katanya. Polis menambah, empat kakitangan di sebuah kapal persiaran mengesahkan melihat seorang lelaki di dalam air, mengatakan bahawa dia meminta bantuan. Terdahulu, dalam video itu, dia memaklumkan diperas ugut oleh individu yang mengancam untuk membunuhnya dan keluarganya. - Daily Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!