suria

Penyerang sensasi Itali nyaris maut kemalangan jalan raya, kereta bertembung dengan trem

Pemain bola sepak ini terlibat dalam kemalangan jalan raya.

SATU kejadian yang mengerikan!

Penyerang Lazio dan Itali, Ciro Immobile dilaporkan terbabit dalam kemalangan hari ini, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya bertembung dengan trem.

SUV pemain berusia 33 tahun itu yang meledak 194 gol dalam 289 penampilan bersama Lazio, turut remuk susulan kemalangan terbabit.

Laporan di Itali menyatakan dia dalam keadaan baik namun mengalami luka di tangan dan mungkin patah bahu.

Ketika kejadianm, Immobile memandu berhampiran Ponte Matteotti iaitu kira-kira lima minit daripada Stadium Olympico apabila trem terbabit melanggar lampu merah dan menghentam SUV dipandunya.

Immobile dan dua anak perempuannya berada dalam kenderaan ketika insiden berkenaan selain penumpang yang berada dalam trem.

Kedua-duanya anaknya juga hanya mengalami kecederaan ringan.

Berdasarkan video yang tular di media sosial, Immobile berkata: "Saya cuba mengelak ke sebelah kiri, sebab itulah kereta dilanggar hanya pada satu sudut.'

"Trem terbabit melanggar lampu merah tetapi buat masa ini, saya tidak mahu bercakap apa-apa. Lengan saya sakit sedikit."

Saksi kemalangan itu mengesahkan dakwaan Immobile di mana trem itu tidak mematuhi lampu isyarat merah yang menyebabkan kenderaan penyerang itu rosak teruk. - Mirror UK

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain