FAKTOR usia bukan penghalang!
Cristiano Ronaldo meraikan gol ke-850 dalam kariernya ketika Al-Nassr menewaskan Al-Hazm 5-1.
Ronaldo menjaringkan gol keenam dalam tiga perlawanan terakhirnya dan melakukan dua umpanan gol untuk kemenangan liga ketiga berturut-turut Al-Nassr. Sadio Mane turut menemui sasaran.
"Satu lagi persembahan berpasukan yang hebat! Persembahan kami semakin meningkat. Ayuh @AlNassrFC. 850 gol dalam karier dan masih berjalan!" kata Ronaldo di media sosial.
Selepas Al-Nassr tewas dua perlawanan pertama liga musim ini, naib juara musim lalu itu, meledak 14 gol dalam tiga perlawanan terakhir, hanya empat mata di belakang pendahulu, Al-Hilal.
Ronaldo adalah penjaring terbanyak Liga Pro Saudi musim ini dengan enam gol, satu melebihi bekas penyerang Liverpool, Mane.
Al-Nassr mendahului permainan pada minit ke-33 menerusi Abdulrahman Ghareeb, sebelum Abdullah Al-Khaibari menambah jaringan di akhir babak pertama.
Bersambung di babak kedua, Muhammed Badamosi merapatkan jurang untuk tuan rumah, tetapi Otavio kembali melebarkan jurang buat Al-Nassr.
Selepas gol ketiga, Ronaldo menjaringkan gol ke-850 dirinya sebelum Mane melengkapkan kemenangan pada minit ke-78. - BBC Sport
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube