JESSE Lingard tidak akan menyertai Al-Ettifaq kerana tuntutan gajinya dilaporkan terlalu tinggi untuk kelab Arab Saudi. Bekas bintang Manchester United itu telah berlatih dengan kelab Liga Pro Saudi, yang diuruskan oleh Steven Gerrard, selama beberapa minggu dengan harapan untuk menandatangani pasukan itu pada Januari. Al-Ettifaq berminat untuk mendapatkannya, namun wartawan Ben Jacobs berkata mereka kini telah meninggalkan rundingan kerana desakan Lingard untuk kontrak yang menguntungkan. Laporan pada Ogos lalu mendakwa pemain berusia 30 tahun itu mahukan £7 juta (RM40.5 juta) setahun, yang bersamaan dengan sekitar £130,000 (RM752,226) seminggu. Angka itu jauh lebih rendah daripada yang dilaporkan £700,000 (RM4.05 juta) seminggu yang dibayar oleh Al-Ettifaq kepada Jordan Henderson, tetapi nampaknya kelab itu tetap tidak mahu menandatanganinya. Kegagalan itu menyebabkan status Lingard menjadi tanda-tanya. Ini kerana dia tidak bermain dalam satu perlawanan pun sejak beraksi selama dua minit untuk Nottingham Forest menentang kelab lama United pada April dan tidak bermain bola sepak minggu demi minggu seperti biasa sejak Disember. Di media sosial, para penyokong melabelnya 'bodoh' kerana memberi harga kepada dirinya untuk berpindah ke Al-Ettifaq. "Jika pasukan Arab Saudi memberitahu anda tuntutan gaji anda terlalu tinggi, ia mungkin terlalu tinggi," demikian antara komen netizen. Malah, ada yang mendesaknya supaya bersara. "Bersara saja Lingard, jika Arab Saudi tidak mahu anda sudah tiba masanya untuk bersara," kata yang lain. - Daily Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube