BEKAS pemain tengah Arsenal Kristoffer Olsson dimasukkan ke hospital selepas dia rebah di rumahnya. Menurut laporan The Athletic, Olsson, 28, yang kini bermain bersama pasukan Midtjylland mula tidak sedarkan diri pada 20 Februari lalu. Dia kemudiannya dipindahkan ke Hospital Universiti Aarhus, Denmark dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Menurut kenyataan Midtjylland, Olsson menghidap penyakit akut berkaitan otak yang bukan berpunca daripada kecederaan diri atau faktor luaran. "Sepasukan pakar perubatan terkemuka Denmark kini bekerja keras untuk membuat diagnosis dan memulakan rawatan yang betul. "Sejak dimasukkan ke hospital, dia dikelilingi oleh keluarga terdekatnya dan kakitangan Midtjylland dan sedang dirawat oleh pakar dalam bidang itu. "Semua orang di Midtjylland sudah tentu sangat terkesan dengan situasi ini dan sokongan penuh kami ditujukan kepada Kristoffer Olsson dan keluarganya," ujar kenyataan itu. Untuk rekod, Olsson yang juga pemain pasukan kebangsaan Sweden pertama kali beraksi untuk Arsenal semasa jelajah pramusim 2013. Pada 2 September 2014, Arsenal mengumumkan perpindahan Olsson ke pasukan Midtjylland di Denmark. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube