suria

Kerajaan tolak tawaran Sukan Komanwel 2026 di Kuala Lumpur

Kontinjen Malaysia berarak ketika upacara pembukaan Sukan Komanwel 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

KERAJAAN menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Keputusan itu diumumkan Kementerian Belia dan Sukan melalui satu kenyataan pada petang Jumaat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang di sebelah pagi.

Penolakan tersebut dibuat selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi..

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, delegasi CGF pada 5 Februari sudah bertemu dengannya untuk mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran tersebut yang turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sementara itu KBS dalam kenyataan sama memaklumkan mereka akur dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri itu.

Hasil pertemuan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta).

"Ia dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar itu.

"Seterusnya, impak ekonomi juga tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini," kata KBS.

Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain