suria

Masalah tunggakan gaji, pemain KDA FC tak dapat terbang pulang... Hanya mampu tatap wajah bayi sulung di telefon

Milos tidak dapat bersama isteri ketika kelahiran anak sulungnya.

SETIAP pasangan suami isteri pasti teruja untuk menyambut kehadiran cahaya mata pertama dalam kehidupan mereka, justeru tidak hairanlah pelbagai persiapan dilakukan.

Bagi pemain import kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC, Milos Gordic, dia hanya mampu menatap wajah anak perempuannya yang dilahirkan pada Rabu lalu menerusi telefon.

Situasi ini timbul susulan masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu hingga mengakibatkan pemain penyerang berusia 32 tahun berkenaan tidak dapat pulang ke Serbia.

Hazriq (kanan) menaikkan kan rentang ucapan tahniah kepada Milos. - Foto HkaG.MY

Hazriq (kanan) menaikkan kain rentang ucapan tahniah kepada Milos. - Foto HkaG.MY

Perkara itu didedahkan penyokong KDA FC, Hazriq Fahimy Abdullah menerusi perkongsian gambar di Facebook peminat, menunjukkan kain rentang ucapan tahniah kerana sudah bergelar bapa.

"Sahabatku sekalian, dia ni (Milos), di saat isterinya memerlukan dia di sisi, di saat zuriatnya sendiri baru keluar ke dunia ini, dia tak dapat nak bersama-sama di sisi insan tersayang dia sebagaimana insan lain mahukan.

"Manakan tidak, hendak terbang pulang pun tak punya wang. Berbulan-bulan tak dapat pulang, tak dapat gaji dan hanya mampu memendam perasaan dari dalam, betapa Allah yang Maha Mengetahui kepiluan itu andai kita pula di tempat dia.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi 6 langkah ‘ajar’ majikan tak bayar gaji pekerja, berbulan-bulan tak carum KWSP

"Walaupun kita berbeza agama, bangsa dan negara, di sudut hatiku amat berasa sedih dan simpati yang amat sangat pada dia atas nama kemanusiaan," katanya.

Hazriq ketika dihubungi mStar memaklumkan pemain itu amat menghargai kain rentang yang dinaikkan di Stadium Darul Aman ketika perlawanan KDA DC menentang Terengganu FC pada Sabtu.

"Dia sendiri tidak menyangka di sebalik masalah tunggakan gaji dan aksinya kerap dikritik tetapi peminat memberi sokongan ketika dia berada dalam keadaan yang sukar.

"Bagi penyokong pula, ini adalah nilai kemanusiaan dan kita seharusnya terus memberikan kata-kata semangat kepada dia dan rakan-rakan pasukan. Mereka lakukan pelbagai pengorbanan untuk pasukan kita," katanya.

Milos (kanan) dan isterinya Angela. - Foto Instagram

Milos dan isterinya Angela. - Foto Instagram

Sementara itu, Milos menerusi hantaran di Instagram berterima kasih kepada isterinya, Angela kerana atas pengorbanannya melahirkan anak mereka tanpa dirinya di sisi.

"Selamat datang puteri daddy, @angelagordic terima kasih atas pengorbanan yang awak lakukan, saya bangga dengan awak, saya sayang awak," tulisnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain