suria

Tiada ‘show’ akibat PKP, Muna Shahirah jana pendapatan dengan main PUBG - “Masa live streaming ada yang tegur suara sedap”

Muna sudah mengumpul hampir 500,000 pengikut di laman Facebook.

SEJAK kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, ramai rakyat Malaysia terkesan dari segi sumber pendapatan termasuklah golongan anak seni.

Mengakui tiada tawaran membuat persembahan, penyanyi Muna Shahirah bagaimanapun bersyukur kerana dapat mencari inisiatif lain dengan berjinak-jinak dalam permainan video PUBG.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lagu gagal dapat sambutan, Muna Shahirah pertaruhkan 'Bagaimana' untuk tembus ke AJL - “Lagu baru ini seperti ada roh yang memberi semangat dan keyakinan”

Bermula hanya sekadar suka-suka, Muna atau nama sebenarnya Muna Shahirah Munadi, 27, akhirnya berjaya mengumpul hampir 500,000 pengikut di Facebook selepas bermain PUBG menerusi laman sosial itu.



Muna akui PKP menjejaskan pendapatannya dalam bidang seni.

"Sejak PKP, tawaran show dah tak ada, program TV dan lain-lain juga terbatas. Ini sangat menjejaskan pendapatan anak seni seperti saya.

"Namun saya bersyukur kerana sejak PKP 1 lagi saya telah berjinak-jinak menceburi diri dengan permainan PUBG. Pada mulanya sekadar suka-suka main di telefon bimbit.

"Lama-kelamaan saya mula belajar sendiri melalui YouTube tanpa bimbingan sesiapa. Lepas tu saya mula stream PUBG melalui Facebook menggunakan komputer.

"Dan tidak disangka-sangka jalan saya Allah mudahkan. Dan kini followers saya mencecah hampir 500,000 di Facebook," kata Muna kepada mStar.

Saya melihat perkara ini dari sudut positif dan berbeza.

MUNA SHAHIRAH

PENYANYI

Selain Muna, beberapa artis antaranya Tajul Ariff, Masya Mashitah, Yana Samsudin dan Fieya Julia turut aktif bermain permainan video tersebut.

Dalam pada itu, Muna mendedahkan rakan-rakan permainan video pada mulanya tidak mengetahui tentang dirinya yang sebenarnya seorang penyanyi.

Menurut penyanyi yang tampil dengan lagu terbaharu berjudul Bukan Milikku ini, PUBG bukan sahaja menghasilkan pendapatan kepadanya, malah telah membuka jaringan pengikut dan peminat baharu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]



Muna tampil dengan lagu terbaru berjudul Bukan Milikku.

“Mula-mula ada yang tak tahu saya penyanyi, tapi sewaktu live streaming kami bersembang sambil layan game (PUBG) saya saja la menyanyi, kemudian ada yang tegur 'eh suara awak sedap, Awak ni penyanyi ke?

"Saya pun guna peluang tersebut untuk promosi lagu saya di YouTube dan dari situ bertambahlah kenalan dan peminat. Saya melihat perkara ini dari sudut positif dan berbeza.

"Saya mula nampak game ini bukan sahaja boleh menjana pendapatan malah ia membantu saya untuk mempromosikan lagu saya di samping minta followers yang turut serta dalam PUBG tu untuk undi lagu saya.

"Alhamdulillah mereka sangat baik dan tidak keberatan untuk bantu saya dan sekarang saya dah ada peminat yang berumur tujuh tahun," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain