suria

Mantap! Sam Kerr wanita pertama hiasi kulit Fifa edisi global

Sam Kerr (gambar fail) bakal menjadi pemain wanita pertama muncul pada kulit permainan video Fifa. foto Reuters

PENYERANG Australia, Sam Kerr bakal menjadi pemain wanita pertama tampil di muka depan permainan video Fifa Electronic Arts apabila francais berusia hampir tiga dekad itu melancarkan 'Fifa 23' tahun ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh pemaju permainan digital itu, minggu ini.

Kerr yang bermain untuk juara Liga Super Wanita, Chelsea, akan ditampilkan bersama penyerang Paris St Germain dan pemenang Piala Dunia (Perancis), Kylian Mbappe.

Mbappe menghiasi muka depan dua edisi terakhir sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Mbappe hiasi wajah baharu Fifa 22

Kerr merupakan penjaring terbanyak WSL musim lalu dengan 20 gol dalam banyak penampilannya.

Bintang berusia 28 tahun itu juga menjaringkan 56 gol dalam 108 penampilan untuk Australia sejak penampilan pertamanya pada 2009, ketika usianya 15 tahun.

"Dua kuasa yang luar biasa di hadapan," kata EA Sports Fifa dalam ciapan di Twitter.

Untuk rekod wajah wanita hanya dipaparkan di kulit muka depan serantau pada tahun-tahun sebelumnya.

Alex Morgan dari Amerika dan Christine Sinclair dari Kanada tampil bersama Lionel Messi pada muka depan Fifa 16 edisi Amerika Utara, di mana yang pertama mempunyai pasukan wanita.

Siri Fifa merupakan salah satu francais permainan video paling berjaya di dunia yang meraih jualan berbilion dolar.

Namun edisi tahun ini adalah judul terakhir EA selepas mereka berpisah dengan badan induk bola sepak dunia, Fifa.

EA membuat tawaran penting kepada Fifa untuk tempoh eksklusif lapan tahun merentasi semua hak permainan dan e-sukan Fifa, tetapi badan bola sepak itu tidak bersedia untuk mengunci semua hak permainan dan e-bola sepak dengan hanya satu penerbit.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain