BUAT pertama kalinya, Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) akan mengadakan Liga eMas, kejohanan e-sukan kebangsaan untuk pemain dan profesional yang bercita-cita tinggi. Liga yang mempertandingkan empat gelaran iaitu Valorant, Fifa Online 4, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG Mobile menawarkan hadiah RM80,000 setiap musim. Menurut presiden MESF Datuk Ananth S. Nathan, penganjuran itu bertujuan membina ekosistem e-sukan yang stabil melalui liga, dengan matlamat untuk membuktikan kepada semua pihak berkepentingan bahawa ia sedang berusaha ke arah mencapai pengiktirafan global untuk negara. "Saya sentiasa percaya bahawa e-sukan adalah untuk semua orang. Saya tetap dengan kata-kata saya dan benar-benar percaya ini juga sukan yang mampu diterima setiap lapisan masyarakat. Dengan sistem ranking di dalam liga, pemain pastinya akan lebih bersemangat untuk bersaing sesama mereka. "Apa yang anda perlukan ialah semangat dan dorongan untuk maju lebih jauh,” ujarnya. Dengan wujudnya liga ini, pemain boleh memantau kedudukan mereka menerusi laman web ligaemas.my dan statistik akan disediakan untuk tujuan ketelusan. MESF percaya, dengan sistem ranking, pemain akan lebih bersemangat untuk berlatih secara konsisten dan mengekalkan prestasi terbaik dalam gelaran masing-masing. "Ketelusan adalah penting. Ini juga mewujudkan persekitaran persaingan yang sangat sihat dan menggalakkan pemain sentiasa berada dalam prestasi terbaik. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan hanya di layar perak, Mat Kilau luaskan legasi ke permainan online King of Nations! "Pada masa hadapan, kami juga akan lebih mudah untuk membuat pilihan kerana kami boleh mendapatkan data dengan mudah," kata MESF dalam satu kenyataan berasingan kepada LifestyleTech. Pasukan dan individu akan dinaikkan atau diturunkan pangkat berdasarkan kedudukan mereka dalam liga. Kelayakan terbuka – yang boleh memuatkan 96 pasukan dari seluruh negara untuk setiap kejuaraan – bermula pada 3 September dan akan berlangsung selama 42 hari. Perlawanan play-off pula akan bermula pada November dan empat pasukan teratas untuk setiap kejuaraan akan bertarung di peringkat akhir di EBN Esports City di Kuala Lumpur dari 25 hingga 27 November. Liga itu juga membuktikan kesungguhan e-sukan di Malaysia untuk ke peringkat global. Hadiah tempat pertama dan kedua bagi setiap gelaran masing-masing ialah RM6,000 dan RM3,000. Tempat ketiga dan keempat akan menerima RM2,000 setiap seorang. Sejumlah RM6,500 akan disalurkan kepada pemain di tempat kelima hingga kedua belas, dan mereka yang dianugerahkan Pemain Paling Bernilai (MVP). Menurut MESF lagi, pemenang juga akan menerima trofi dan berpeluang mewakili Malaysia sebagai atlet negara dalam liga dan kejohanan antarabangsa yang lain. MESF berkata maklum balas oleh pemain dan pihak lain dalam industri e-sukan kepada Liga eMas adalah "sangat baik" sejak pendaftaran dalam talian bermula bulan ini. Badan itu juga terbuka kepada cadangan untuk menambah lebih banyak gelaran pada liga daripada genre permainan lain seperti pertarungan dan perlumbaan. "Kami akan membuka tinjauan sebelum musim depan. PUBG Mobile dan MLBB akan sentiasa menjadi dua permainan teras,” tambah MESF. - The Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI