suria

Tendangan trivela rahsianya! Shellzz tak lokek kongsi taktik ampuh kuasai FIFA 23

Shellzz merupakan pemain Pro FIFA 23 untuk Manchester City.

PEMAIN profesional FIFA 23, Shellzz tampil berkongsi petua, taktik dan formasi terbaik untuk digunakan dalam Pasukan Ultimate FIFA 23.

Shellzz, pemain Pro FIFA 23 untuk Manchester City, akan 'membalas dendam' dalam pertandingan ePremier League 2022/23 selepas gagal melayakkan diri ke pusingan akhir tahun lepas.

Pemain berusia 23 tahun itu tersingkir di Club Playoffs, sekali gus tidak dapat mempertahankan gelarannya selepas memenangi pertandingan berkenaan pada musim 2020/21.

Liga ePremier 2022/23 terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mendaftar, dengan pemain perlu mara melalui lima pusingan kelayakan sebelum ke pusingan akhir, yang menawarkan hadiah £100,000 (RM529,000) untuk dimenangi.

Walaupun sedang bersiap sedia merebut gelaran juara sekali lagi, Shellzz tidak lokek berkongsi beberapa tip kepada umum.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu buta teknologi, nenek 65 tahun kini tunjuk ‘taring’ jadi pemain League of Legends

"Dua perkara yang boleh saya katakan ialah belajar cara melakukan sepakan trivela (teknik menendang menggunakan bahagian luar kaki) - jika anda pemain baharu tetapi anda tahu cara trivela, saya pasti anda akan menjaringkan banyak gol.

"Saya juga syorkan untuk guna penyerang yang mampu bertahan lama. Jika anda bergelut untuk menyerang, buatkan penyerang anda untuk berlari dengan menggunakan L1 pada PlayStation atau LB pada Xbox.

"Saya fikir jika anda boleh menguasai kedua-dua itu, ia akan membantu anda memenangi beberapa perlawanan," ujarnya.

Tendangan trivela telah terbukti merupakan cara yang sangat ampuh untuk menjaringkan gol dalam FIFA 23, terutamanya dari jarak jauh di mana bola akan bergerak melengkung (curl)

Tambah Shellzz, dia juga menggunakan gabungan teknik lama dan baharu untuk membantunya dalam FIFA 23.

"Teknik yang saya gunakan adalah hantaran terus... ia mendorong pasukan anda ke hadapan dan membuatkan mereka menolak barisan pertahanan lawan sedikit ke belakang dan memasukkan mereka ke dalam kotak.

"Saya juga menggunakan 4-2-3-1, iaitu formasi yang tidak begitu banyak digunakan, tetapi cara saya bermain (di FIFA 23) adalah jauh berbeza dengan tahun-tahun lain.

"Tahun ini saya banyak menggunakan sayap, menggunakan ruang, dan kemudian tendangan trivela... jadi ia adalah campuran kedua-duanya," katanya lagi. - Mirror

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain