PERANCIS: Mengikuti contoh yang ditunjukkan Paul si sotong kurita, kini Watson si singa laut berharap hidungnya mampu membawa tuah dan kemasyhuran antarabangsa selepas meramalkan Perancis bakal memenangi Euro 2016. Dengan berat 350 kg, mamalia pertengahan umur yang tinggal di sebuah zoo di bandar Amneville sebelum ini meramal dengan tepat laluan Perancis ke suku akhir Piala Dunia 2014. Watson memberi isyarat pilihannya dengan mengambil salah satu daripada tiga kotak ais yang mengandungi bendera pasukan lawan. Penjaga Zoo, Pablo Joury berharap Watson akan menjadi pengganti yang layak kepada Paul si sotong Jerman yang meramal dengan tepat kemenangan Jerman pada Piala Dunia 2010 dan menjadi 'selebriti' terkenal sebelum mati beberapa bulan kemudian. Untuk perlawanan pembukaan antara Perancis dan Romania, Watson memilih negara asalnya untuk menang. Ramalan itu tepat apabila Romania tewas 1-2 kepada Perancis menerusi perlawanan pada Jumaat. Kejohanan ini akan berlangsung dari 10 Jun hingga 10 Julai. -Reuters