IMPIAN Jerman untuk menjulang trofi Kejuaraan Eropah (Euro) buat kali keempat berjalan lancar selepas mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Ukraine di Stadium Pierre-Mauroy, awal pagi Isnin. Jerman meraih mata penuh pada aksi pertama saingan Kumpulan C dengan jaringan Shkodran Mustafi pada minit ke-19. Pada awal permainan, skuad juara dunia yang dibimbing Joachim Low itu berjaya menguasai permainan, namun selepas minit ke-30 mereka dipaksa bekerja keras oleh pasukan lawan. Bagaimana pun mereka bernasib baik dengan aksi mantap penjaga gol Manuel Neuer yang banyak menyelamatkan percubaan berbahaya anak buah Mykhaylo Fomenko itu. Sementara itu, pemain-pemain Jerman membuktikan statusnya selaku pasukan terbaik dengan menghidangkan corak hantaran bola kelas dunia malah terus mengekalkan rentak konsisten sepanjang tempoh permainan. Malah skuad yang digelar Nationalelf ini berjaya mengekang serangan Ukraine ketika cuba mencari gol penyamaan sehingga tamat tempoh sebenar permainan. Dalam pada itu, aksi berbisa Bastian Schweinsteiger tidak perlu dipertikaikan lagi apabila hanya mengambil masa tiga minit (90+2) sahaja untuk menyumbat gol kedua Jerman selepas menggantikan Mario Gotze pada minit ke-89. Aksi Jerman seterusnya bertemu Poland pada 17 Jun ini dan dijangka perlawanan sengit berlaku perebutan kedudukan teratas kumpulan.