SWITZERLAND mengiringi Perancis melangkah ke pusingan kalah mati selepas mengikat tuan rumah 0-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A Euro 2016, awal pagi Isnin. Pertembungan penuh mendebarkan itu menyaksikan Perancis kurang bernasib baik apabila tiga peluang terbaik di depan gawang gagal disempurnakan selepas bola terkena palang. Pasukan tuan rumah banyak mendapat peluang menjaringkan gol di babak pertama tetapi corak permainan selepas itu menurun dengan kedua-dua pasukan dilihat seolah-olah berpuas hati dengan keputusan tersebut. Perancis menamatkan saingan Kumpulan A sebagai juara apabila mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, dua mata di depan Switzerland yang menghuni tangga kedua. Bintang muda Perancis, Paul Pogba yang dikritik susulan aksi hambarnya dalam dua perlawanan sebelum ini dilihat kembali beraksi pada ahap prestasi sebenar. Namun tuah tidak mengiringi Pogba apabila dua percubaannya di babak pertama sekadar terkena palang. Pemain tengah Perancis, Dimitri Payet yang hanya dimasukkan sebagai pemain gantian di babak kedua berpeluang menjaringkan gol buat pasukan itu tetapi rembatannya pula terkena palang. Switzerland yang tidak pernah menewaskan Perancis dalam saingan kejohanan utama dilihat lebih kompetitif kali ini berbanding ketika mereka tewas 2-5 di tangan lawan sama dalam aksi peringkat kumpulan Piala Dunia 2014. Senarai Pemain: SWITZERLAND: Sommer, Lichtsteiner, Schär, Djourou, Rodríguez, Behrami, Xhaka, Džemaili, Mehmedi, Shaqiri, Embolo. PERANCIS: Lloris, Sagna, Rami, Koscielny, Evra, Cabaye, Sissoko, Pogba, Coman, Griezmann, Gignac.