suria

Digeruni lawan di gelanggang, namun siapa sangka Shadowcat Jihin sukakan pink!

Jihin digelar 'Shadowcat' ketika di gelanggang antara atlet muda wanita yang digeruni lawan. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI & Instagram @jihinr

MENCEBURI sukan kombat tidak semestinya perlu berperwatakan umpama lelaki, demikian pandangan atlet sukan seni tempur campuran (MMA) Hayatun Jihin Radzuan.

Gadis berjiwa kental berusia 20 tahun kelahiran Pasir Gudang, Johor ini berkongsi cerita langkah pertamanya bergelar atlet profesional ONE Championship.

Jihin atau digelar 'Shadowcat' ketika di gelanggang antara atlet muda wanita yang digeruni lawannya setakat ini.

Biarpun masih baharu bergelar profesional, Jihin kita sudah membawa aura gerun kepada lawannya dalam katagori Atomweight.

"Saya bermula dengan Muay Thai pada usia 16 tahun sebagai hobi. Di sekolah (Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2) saya seorang yang aktif bersukan seperti bola jaring, menari dan sebagainya.

Jihin (belakang) mengunci lawannya pada aksi Julai lalu.

"Namun saya mencari sesuatu yang boleh mencabar diri sendiri dan boleh memberi jaminan untuk perlindungan diri. Sukan tempur diri dan acara berpasukan sangat berbeza.

"Malahan, perbezaan umur yang agak jauh dengan adik beradik yang lain membuatkan saya mencari haluan minat sendiri.

"Ibu bapa saya dah bercerai dan masing-masing sudah ada keluarga sendiri. Sebagai anak bongsu daripada enam adik beradik saya perlu menjaga diri sendiri, dan saya memilih Muay Thai," kongsinya kepada mStar Online.

Jihin yang peramah dan suka tersenyum ini memberitahu, selepas dua tahun aktif dalam Muay Thai dia mula berdepan dengan dilema.

"Saya tidak pernah terfikir untuk menceburi MMA secara serius dan menjadikannya sebagai karier, lagi pun saya bukan jenis yang suka duduk lepak atau tidak bekerja. Saya perlu mencari duit poket sendiri.


Gadis berusia 20 tahun ini sebenarnya gemarkan warna merah jambu.

"Kebetulan ketika menunggu keputusan SPM, tempat saya berlatih Akademi Ultimate memerlukan pekerja dan saya diterima. Dalam masa sama tetap terus berlatih.

"Ketika keputusan SPM keluar saya turut menerima tawaran menyertai Malaysian Invasion Mixed Martial Arts (Mimma).

"Masa itu perasaan bercampur aduk sama ada nak sambung belajar atau teruskan karier. Saya tanya jurulatih (Melvin Yeoh) dan dia beri pandangan dan menyuruh saya membuat keputusan sendiri.

"Ibu pula beritahu dia akan sokong apa sahaja minat saya. Yang penting katanya, saya perlu bersungguh-sungguh.

"Jadi akhirnya saya memilih Mimma dan berjaya mendapatkan kontrak bersama ONE Championship," jelas Jihin.

Jihin bersama antara hadiah kemenangannya.

Berkongsi nama jolokan Shadowcat, Jihin memberitahu ia disebabkan minatnya terhadap kucing dan turut mempunyai haiwan belaan kesayangannya sendiri.

"Jurulatih yang memberi gelaran itu dan terus melekat dengan saya.

"Mengenai jurulatih saya pula, kami sebenarnya selalu 'argue' antara satu sama lain kerana sikap saya yang suka tanya 'kenapa'.

"Tetapi coach seorang yang berpengalaman dan dia hanya beritahu kepada saya 'kamu akan tahu nanti' dan selepas setiap arahan dibuat, baharu saya tahu kenapa perlu buat itu dan ini.

"Coach selalu berpesan supaya jangan ikut darah muda dan sentiasa mendengar nasihat orang yang lebih berpengalaman," jelasnya.

Jihin ketika menjalani sesi latihan.

Mengenai kariernya sebagai atlet profesional MMA, Jihin berkata jadual pemakanannya sudah bertukar 360 darjah.

"Saya perlu mengawal pemankanan saya untuk mengekalkan berat badan serta stamina.

"Sebenarnya saya seorang yang suka makan. Sebelum pertandingan saya terpaksa diet dan ketika itulah saya akan menyenaraikan pelbagai menu untuk dimakan selepas pertandingan.

"Tetapi kebiasaannya semua makanan yang tersenarai itu saya tidak makan. Sebab dah menjadi kebiasaan mengambil makanan dengan kuantiti secukupnya," kata Jihin.

Selain itu, Jihin turut berhasrat menjadi 'role model' kepada semua golongan wanita supaya tidak takut untuk menceburi sukan kombat.

Jihin bersama dua ekor kucing kesayangannya.

"Ramai golongan wanita takut kerana ia kelihatan agak kasar. Sebenarnya tidak kerana seni pertahankan diri ada dalam pelbagai bentuk.

"Jangan takut buat keputusan untuk diri sendiri kerana apabila saya ceburi bidang ini sebenarnya bukan kemenangan yang dicari tetapi lebih utama kepuasan diri untuk mencapai prestasi lebih baik selepas berusaha keras," katanya.

Selain makanan kegemaran, Jihin turut berkongsi warna kegemarannya.

"Saya suka pink! Kawan-kawan saya selalu tanya kenapa suka pink tapi main sukan lasak? Bagi saya, MMA adalah minat saya dan ia tidak semestikan perlu perwatakan lelaki kerana saya memang perempuan.

"Di luar gelanggang saya seorang gadis yang suka warna pink. Kucing dan pink sangat 'perfect'," ujarnya yang sentiasa senyum.

Jihin Radzuan, Shadowcat

Artikel Lain