suria

"Kalau ada jodoh, saya mahu kahwin dengannya" - Daniel Amier

Daniel antara bintang muda yang semakin mendapat perhatian.

"CITA-cita sejak kecil nak jadi juruterbang, tapi jauh menyimpang jadi pemain bola sepak negara," demikian luah Muhammad Daniel Amier Norhisham.

Pemain tengah Felda United berusia 21 tahun itu mengakui sejak kecil lagi minat untuk berpakaian segak dan mengendalikan pesawat yang membelah awan itu.

"Zaman kecil-kecil dulu kalau orang tanya cita-cita nak jadi apa, mesti saya jawab 'pilot'. Tak tahulah kenapa, memang minat sangat.

"Impian tu disimpan hingga sekarang walaupun saya sudah ada karier sendiri," jelasnya berkongsi bersama mStar Online.

Muhammad Daniel Amier atau lebih mesra dipanggil Boy memberitahu, biarpun cita-cita tidak kesampaian, dia berbangga kerana dapat juga berbakti kepada negara.

Daniel (empat dari kiri) bersama skuad Bawah 23 Tahun negara.

Bekas produk akademi Frenz United ini kini antara pemain penting dalam skuad muda negara dan tonggak utama kelab Felda United.

Bagaimanapun tahun ini perjalanan Boy dalam kariernya tahun ini tidak lancar selepas mengalami kecederaan pangkal paha Julai lalu.

"Terkilan sedikit selepas mengalami kecederaan dan terlepas aksi Sukan Asia pada Ogos. Namun itu tidak menghalang saya untuk bangkit dan mengembalikan kecergasannya.

"Proses pemulihan kini berjalan lancar dan dalam masa sama saya tetap menjaga kecergasan dengan bermain beberapa perlawanan  persahabatan selepas berakhirnya musim Liga Malaysia.

Foto kredit: Instagram Daniel

"Saya mahu pastikan diri saya sudah bersedia dalam dipanggil kembali dalam skuad kebangsaan," ujar anak kedua daripada tiga beradik ini

Mengulas mengenai kariernya musim depan, Boy memberitahu dia akan terus bersama Felda sehingga 2020.

"Akan terus bersama Felda United dalam mengharungi aksi Liga Malaysia musim depan," jelas pemain kelahiran Kuala Lumpur ini yang sudah mempunyai buah hati bernama Nurul Hanisah Mohd Isa.

Mengimbas kembali hubungan cintanya dengan Nurul, Boy memberitahu mereka berkenalan ketika aksi Sukan SEA di ibu negara tahun lalu.

"Boy 'approach' dia dulu. Masa tu dia datang tengok perlawanan Malaysia. Kami berkawan dan akhirnya menjadi serius. Selain daripada keluarga, dia jugalah yang selalu ada memberi sokongan ketika jatuh bangun dalam karier ini.

"InsyaAllah kalau jodoh panjang, Boy ingin berkahwin dengannya. Cuma buat masa sekarang Boy mahu fokus karier terlebih dahulu," ujarnya yang merancang mahu mengunjungi Switzerland satu hari nanti.

Dalam pada itu, Boy turut memberitahu jadual yang padat tidak menghalangnya untuk bersama kawan-kawan rapatnya di luar padang.

"Bila ada masa cuti panjang, Boy akan pastikan kami akan melepak kat 'port' biasa di kedai Awe Farid, Keramat," jelasnya tersenyum.

Profil:

Nama penuh: Muhammad Daniel Amier Norhisham

Asal: Kuala Lumpur

Tarik Lahir: 27 Mac 1997

Cita-cita: Juruterbang

Makanan kegemaran: Daging kambing

Penyanyi pujaan: Adele

Pelakon pujaan: Leonardo DiCaprio

Kelab: Felda United

No jersi kebangsaan: 16 (Bawah 23 Tahun)

Posisi: Pemain tengah






Daniel Amier

Artikel Lain