suria

Hasrat hati nak jadi pramugara, Jordan Boy kini pejuang di kandang Muay Thai

Jordan (tengah) bersama ayah dan ibunya.

MOHAMMED Mahmoud terpaksa memadamkan hasratnya untuk bergelar pramugara gara-gara sikapnya yang agak pemalu.

Terkenal dengan jolokan ‘Jordan Boy’, jejaka yang mempunyai darah kacukan Jordan-Malaysia ini dilihat mempunyai pakej lengkap untuk memenuhi cita-citanya itu dengan ketinggiannya 175 sentimeter berserta raut wajah tenang dan mudah tersenyum. Namun apakan daya hasratnya itu tidak kesampaian.

Banyak menghabiskan masanya di rumah dengan menonton rancangan seni mempertahankan diri, Jordan dalam diam mula menanam minat baharu untuk menceburi sukan Muay Thai.

Tetapi malang nasibnya sekali lagi apabila minatnya itu dilarang oleh bapanya Mahmoud Omar.


“Saya suka menonton rancangan ‘Contender’ dan ketika itu Faizal Ramli menjadi idola saya. Walaupun pada mulanya ayah dan ibu tidak berapa menyokong minat ini, saya tetap mahu mencuba terlebih dahulu dengan bersyarat sebelum mendaftar diri di sebuah gimnasium Muay Thai.

“Ayah beritahu kepada saya, jika saya kalah pada perlawanan pertama, saya kena tinggalkan dunia Muay Thai ini.

“Tetapi saya menang dengan TKO dan bermulalah karier saya sebagai pejuang Muay Thai,” ujarnya memulakan cerita mengenai penglibatannya dalam Muay Thai.

Menurut anak kedua daripada enam adik beradik ini yang dilahirkan di Kedah dan dibesarkan di Kuala Lumpur, selepas menang perlawanan amatur pertama, bapanya dan ibunya, Rohaya Ishak mula memberi sokongan penuh dalam karier ini.

“Walaupun agak sedikit terlewat menceburi bidang ini (ketika usia 18 tahun), tetapi saya yakin dengan usaha dan kerja kuat, saya mampu bersaing dengan peserta yang lebih berpengalaman.

“Ayah mula menguruskan saya dan dibantu abang, Nidal. Saya semakin obses untuk berlatih lebih kuat lagi. Perlawanan demi perlawanan saya menang dan semakin mendapat perhatian peminat seni pertahankan diri ini.


“Manakala setiap kali ada perlawanan semua keluarga saya akan turut berada di tepi gelanggang memberi sokongan. Semangat itulah antara faktor kemenangan saya setakat ini.

“November lalu saya terpilih menyertai ONE Championship. Memang sangat bersyukur dan gembira. Kejohanan ini mampu membawa saya ke pentas antarabangsa yang lebih luas.

“Dan pada aksi sulung saya baru-baru ini di ‘kandang’ ONE Championship, saya catat kemenangan ke atas lawan yang berpengalaman. Ia dapat menambahkan lagi rekod kejayaan peribadi saya,” ujarnya.

Jelas Jordan, yang kini berusia 22 tahun, sejak penglibatannya dalam Muay Thai ini semakin berkembang, kini semua adik-beradiknya turut belajar tentang selok-belok seni mempertahankan diri ini.

“Abang dan dua adik saya turut aktif. Manakala mak dan ayah menjadi pendorong utama kami. Memang tidak menyangka perjalanan hidup saya dalam bidang ini semakin menarik.


“Kalau dulu saya berangan nak jadi pramugara atau juruterbang, tetapi terpaksa akur dan diketepikan kerana saya seorang yang pemalu dan bahasa Inggeris saya tidak berapa bagus ketika itu.

"Tetapi sekarang, apabila banyak berdepan dengan ramai orang, sedikit demi sedikit perasaan itu hilang dan rasa lebih yakin,” katanya.

Dalam pada itu, Jordan memberitahu menceburi bidang ini memerlukan disiplin yang tinggi dan konsisten.

“Ayah sayalah yang banyak memberi sokongan bukan sahaja dari segi mental tetapi secara fizikal seperti penjagaan makan, menyediakan ‘supplement’ dan lain-lain.

“Kami mempunyai sebuah restoran makanan Arab di Ampang. Jadi tidak ada masalah untuk saya menjaga pemakanan yang sihat. Dan dalam masa sama jika mempunyai masa lapang, kami akan turut membantu menguruskan perniagaan keluarga ini,” ujarnya.

Bagi musim 2019, Jordan mahu mencipta lebih banyak kemenangan bersama ONE Championship.

MOhammed Mahmoud, Jordan Boy

Artikel Lain