suria

Awish bangkit! Buktikan kecederaan bukan bermakna karier bola sepak berkubur

BAGAIKAN lumrah, karier sebagai atlet dianggap berakhir saat berdepan kecederaan, namun ia bukan noktah untuk meneruskan minat dalam bidang yang sudah sebati dalam diri setiap ahli sukan.

Demikianlah yang berlaku kepada bekas pemain bola sepak profesional Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarasbib yang mengalami kecederaan lutut, sekaligus mengakhiri kariernya di padang bola, namun ia tidak berhenti di situ sahaja.

Pengalaman anak muda yang mesra disapa Awish sebagai pemain bola sepak sejak usia remaja tidak disia-siakan, malahan dia berharap dapat dikongsi dengan bakat-bakat muda.

Menurut bekas pemain Pulau Pinang dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pulau Pinang (PKNP) ini, dia tidak mengambil masa panjang untuk berehat selepas kecederaan.

Awish bersama peserta akademi menjalani sesi latihan.

“Saya tidak mahu minat dalam bidang ini terkubur begitu sahaja dan di situlah timbulnya idea untuk menubuhkan akademi bola sepak di berpangkalan di Jawi, Nibong Tebal.

“Memang bukan mudah untuk memulakan akademi memandangkan ia memerlukan sumber kewangan yang kukuh.

“Tetapi saya bersyukur kerana sokongan dan bantuan Ahli Parlimen Nibong Tebal (Datuk Mansur Othman) akhirnya impian untuk melihat bakat-bakat muda diasah menerusi akademi saya tercapai dan akhirnya pada Oktober tahun lalu, Akademi Bola Sepak Wira Muda beroperasi secara rasmi," ujarnya kepada mStar Online.

Jelas anak ketiga daripada lima orang beradik ini, akademinya itu tidak akan berjalan lancar tanpa sokongan pelbagai pihak.

“Keluarga pastinya menjadi tulang belakang saya sepanjang bergelar pemain bola sepak. Sokongan itu juga menjadikan saya lebih matang dalam membuat sebarang keputusan.

“Rakan-rakan bola sepak serta NGO (badan bukan kerajaan) yang banyak membantu melancarkan perjalanan akademi ini.

“Bagi saya, apa yang kita buat pastinya ada halangan dan cabaran. Saya mengambil segala cabaran itu sebagai semangat untuk lebih maju,” katanya yang berusia 26 tahun.

Menurut bapa kepada Shaik Hudzaifah Ibnul (6 bulan) ini, peserta-peserta muda yang menyertai sesi latihan dua kali seminggu pada setiap hujung minggu semakin bertambah sejak ditubuhkan empat bulan lalu.

Awish mahu menjadi akademinya setaraf dengan akademi di luar negara.

“Bulan pertama jumlah pemain pelbagai kategori umur seramai 80 orang dan kini telah bertambah kepada 120 orang yang terdiri daripada pemain Bawah 10 Tahun, 12 dan 15 Tahun.

“Fokus saya dalam akademi ini bukan hanya menyertai kejohanan dan menang semata-mata, tetapi pelatih perlu faham asas bola sepak.

“Mana-mana pemain yang berpotensi ke peringkat yang lebih tinggi, saya akan cadangkan mereka menyertai Akademi Bola Sepak Negara (pemain Bawah 12 Tahun) manakala yang remaja (15 Tahun) ke Sekolah Bukit Jalil.

“Setakat ini perkembangan semua peserta semakin positif,” jelasnya yang menjadikan Nasi Goreng Pattaya sebagai makanan kegemaran.

Bagi Awish yang usia muda bukan penghalang buatnya untuk melakukan apa yang diminati.

Pemain-pemain muda Akademi Bola Sepak Wira Muda.

“Mungkin ramai yang menganggap saya masih muda untuk menubuhkan akademi sendiri, tetapi bagi saya jika kita minat dan berusaha, semuanya akan berjalan lancar.

“Lagi pun kita semua tahu, bola sepak adalah sukan utama yang diminati di negara ini dan ramai bakat-bakat muda yang mempunyai potensi untuk pergi jauh.

“Jadi akademi saya sebagai alah satu landasan untuk mereka mengasah bakat sendiri,” katanya.

Shaik Awish

Artikel Lain