SETIAP ibu bapa pasti mengharapkan anak mereka bertemu jodoh yang baik dan dapat menjadi saksi akad nikah dan persandingan mempelai di hari bersejarah. Sekurang-kurangnya mereka berasa lega apabila anak yang ditatang bagai minyak yang penuh kini sudah ada peneman dan makan pakai lebih terjaga terutamanya anak lelaki. Hal yang demikian tidak terkecuali turut dirasai ibu bapa kepada atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atau lebih mesra disapa Dik Wan apabila mereka sentiasa mendoakan agar anak istimewa itu dipertemukan jodoh terbaik. Mohamad Puzi Mat Isa mendedahkan anak keduanya itu pernah memberitahu dia ada menyukai seseorang. "Dia tak beritahu tengah bercinta ke apa tapi dia ada cakap berkenan dengan seorang gadis. Saya tak halang dia bercinta sebab itulah naluri manusia, ada perasaan ingin dicintai. "Cuma saya cakap kat Wan tengok-tengok, pilihlah yang pandai bimbing Wan... jaga Wan. Kami terima siapa juga pilihan hati dia. "Saya juga minta pada Allah agar dia dapat jodoh yang pandai jaga dia, kena terima Wan seadanya," katanya kepada mStar Online. Dik Wan bersama ibu bapa, abangnya Shaiful dan adik bongsunya, Nursyazwani. Menurut Mohamad Puzi, anaknya itu pernah meluahkan hasrat untuk berkahwin tetapi terpaksa melupakan perkara tersebut sehingga misinya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 selesai. "Dia pernah minta nak kahwin mungkin sebab umur dia dah meningkat lagipun sekarang dia dah 32 tahun. "Tapi jurulatih minta dia fokus untuk Olimpik 2020. Lepas tu tak kisahlah (kalau nak kahwin), Insya-Allah kalau dah jodoh dia. "Mengenali Wan dia tak beritahu pun ciri-ciri gadis yang dia suka. Jika dia selesa dengan gadis pilihan dia, kami (sekeluarga) terima," katanya. Saya kena strict dengan dia semasa latihan kerana dia seorang juara. Nak maintain tu susah tapi nak jatuh amat mudah. Jadi dia kena banyak korbankan cuti dalam tempoh dua tahun ini. R. JAGANATHAN JURULATIH Sementara itu, jurulatih R. Jaganathan yang membimbing Dik Wan selama 11 tahun mengakui dia ada menasihati anak didiknya itu supaya tidak berkahwin dalam masa terdekat bagi memberi tumpuan terhadap persediaan ke temasya Olimpik 2020 di Tokyo. "Dia pernah cakap ada suka seseorang. Bagi saya itu normal sebab budak sekolah pun boleh bercinta. Tapi sebagai ayah angkat dia saya minta dia sabar dulu... habis 2020 baru kita bincang. "Saya tak nak ada gangguan kerana ramai atlet tak kisah anda atlet normal atau tidak, bila sudah ada kekasih atau berkahwin pencapaian jatuh dan mula hilang fokus. "Lepas selesai (Olimpik) dia boleh terus nikah. Saya beritahu dia, kita ajak ibu bapa jumpa gadis dia minat. Cuma sekarang dia kena berkorban sedikit untuk kesenangan dia di kemudian hari," katanya. Dik Wan bersama jurulatih, R.Jaganathan yang juga ayah angkatnya. Jelas Jaganathan, meskipun Dik Wan sudah berusia tapi dia tetap yakin dengan kemampuan dan bakat luar biasa anak didiknya itu. "Orang cakap dia sudah tualah, dah boleh kahwin dan duduk rumah. Tapi saya tak lihat usianya sebagai satu masalah. Kalau dia masih mampu jadi juara, kenapa anda perlu usik dia (pasal kahwin). "Kadang-kadang kawan-kawan suka usik dia tapi saya akan nasihatkan dia. Saya pun risau sebab dia berduit takut ada orang nak ambil kesempatan sahaja. Tapi dia OK, terima nasihat saya," katanya. Ditanya mengenai sikap Dik Wan semasa latihan, katanya, penerima anugerah Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018 itu merupakan seorang yang berdisiplin dan komited. "Masa latihan dia boleh ikut dan boleh buat. Mula-mula susah tapi sekarang dia dah faham rentak (latihan) saya. Dia juga amat berdisiplin. Itulah rahsia kejayaannya. "Saya kena strict dengan dia semasa latihan kerana dia seorang juara. Nak maintain tu susah tapi nak jatuh amat mudah. Jadi dia kena banyak korbankan cuti dalam tempoh dua tahun ini. "Sekarang banyak masa dihabiskan untuk latihan. Ada 11 sesi latihan setiap minggu. Latihan dari Isnin hingga Sabtu... Ahad sahaja waktu untuk rehat. Tapi dia boleh buat sebab nak jadi juara bukan mudah," katanya. Dik Wan memenangi pingat emas Olimpik Rio De Janeiro, Brazil pada September 2016. Dalam pada itu, Jaganathan berkata beliau kini sedang mempersiapkan Dik Wan untuk misi mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada temasya Sukan Olimpik di Rio De Janeiro, Brazil pada 2016. "Untuk kejohanan utama tahun ini, dia akan bersaing pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai pada November depan. Tapi matlamat utama kami mahu dia cipta sejarah menang pingat emas back to back. "Tak pernah mana-mana atlet para buat lagi setakat ini. Kami akan cuba lakukan yang terbaik. Jika 2016 dia juara, jadi saya harap 2020 sejarah akan tercipta sekali lagi tetapi dia kena banyak berkorban dan bersabar," katanya.