MARCUS Rashford menjadi antara pemain muda berprofil tinggi di England pada usia 21 tahun. Pemain yang berstatus bintang di Manchester United ini menjadi sebutan semua penyokong kelab itu, tetapi Rashford berada di kemuncak tidak menjadikan dirinya seorang remaja yang lupa asal usulnya. Jelas Rashford, pada usia empat tahun dia sudah mula meminati sukan bola sepak dan akan cuba bermain dalam apa cara sekali pun. “Bagi saya, apa yang paling penting jangan lupa asal-usul sendiri kerana ramai orang yang datang dari tempat yang sama, tetapi tidak mempunyai tuah seperti ini. “Anda tidak bermain untuk diri sendiri, tetapi untuk keluarga dan kawan-kawan. Ramai orang yang berkongsi impian yang sama dan ini adalah salah satu daripadanya. “Saya mempunyai ramai kawan sejak usia lima tahun dan apabila sesekali dapat melawat tempat kita membesar, bersekolah, rumah sendiri akan membuat kita sedar dari mana kita berasal,” ujarnya mengimbas kembali rumah keluarganya di Wythenshawe di selatan Manchester. Rashford dipanggil menyertai skuad utama United pada 2015. Rashford dilahirkan di dalam sebuah keluarga besar dengan mempunyai dua orang kakak (Chantelle dan Claire) dan dua abang (Dwaine dan Dane). “Ketika di sekolah rendah saya seorang yang budak lelaki yang agak baik, namun semakin membesar saya agak nakal. “Dari situ timbul beberapa masalah seperti ponteng sekolah dan selalu melepak. Untuk mengelak daripada dihukum, saya akan keluar rumah melalui tingkap bilik. “Dengan kelaurga yang sederhana, kami adik beradik selalu menghabiskan masa bermain PlaySation sepanjang masa. “Kami juga bermain bola di kawanan taman, menggelecek bola, berlatih menggunakan kon dan selalu berlari-lari di kawasan itu. Tetapi sekarang apabila saya kembali ke sini, rasa macam tak percaya saya pernah di situ,” ujarnya bercerita perjalanan usia remajanya. Jelas penyerang muda ini, ketika menyertai Akademi United pada usia tujuh tahun, dia belum pasti masa depannya sama ada berpeluang atau tidak untuk menyertai skuad utama. Rashford (tengah) menjalani latihan bersama rakan pasukan United. “Apabila saya melihat pemain remaja lain dapat menyertai pasukan utama, ia sedikit memudarkan motivasi diri. “Ketika saya kanak-kanak, ada pemain remaja lain Federico Macheda, Danny Welbeck, Revel Morrison, Paul Pogba, Jesse Lingard yang ada dalam skuad utama. “Ketika itu usia saya 14 atau 15 tahun dan selalu melihat mereka yang membuatkan saya menjadi lebih realistik. “Ketika usia muda, kita akan ada cita-cita untuk menjadi top, dapat posisi pemain utama dan saya sentiasa ingin berada di United. “Saya belajar sesuatu daripada situasi itu bahawa jangan ada sangsi dengan diri sendiri dan fokus untuk terus melangkah. “Dan kini, saya sudah berada dalam skuad utama – impian yang selalu saya inginkan ketika usia kanak-kanak,” ujarnya. Rashford kini telah merakam 31 kali penampilan bersama skuad senior England selepas diberi peluang buat kali pertama oleh pengurus Luis van Gaal beraksi dalam Liga Perdana pada November 2015. Sejak itu namanya mula dikenali. Rashford menghadiahkan Trofi Pemain Terbaik yang dimenangi pada Mac 2018 kepada ibunya, Melanie. Berkongsi idola dalam bola sepak, Rashford memberitahu dia amat meminati Cristiano Ronaldo. "Saya mula melihat Ronaldo ketika dia menjaringkan hatrik untuk Real Madrid bertemu Manchester United di Old Trafford (2003). "Saya juga membesar dengan melihat dia bermain. Dia sentiasa berada dalam keadaan bebas ketika bermain. Dia akan keluar dan menonjolkan dirinya. Apabila anda berjaya melakukan sepertinya, itulah saat yang terbaik anda bermain bola sepak," katanya.