suria

Zulfahmi kini sifu pelumba muda negara, tapi bab anak katanya “biar dia pilih minat berbeza”

HAMPIR sedekad mengabdikan diri di litar, Zulfahmi Khairuddin kini bukan lagi bergelar pelumba, sebaliknya ada tugas lebih besar yang perlu dipikulnya.

Nama Zulfahmi memang menjadi sebutan peminat-peminat sukan motosikal tanah air sebaik sahaja dia menceburkan diri dalam dunia perlumbaan berprestij dunia.

Anak muda kelahiran Banting, Selangor ini pernah membanggakan negara apabila berjaya mengibar bendera Malaysia di podium pada aksi perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia 2012 kategori 125cc di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Namun rezeki pemuda berusia 28 tahun ini sebagai pelumba negara berakhir tahun lalu selepas dia mengambil keputusan untuk berundur daripada litar perlumbaan.

Fahmi mengumumkan lima pelumba muda yang terpilih dalam program 'Impian ke MotoGP' oleh AZ Racing Team. Foto kredit: FB Zulfahmi

"Sampai satu tahap kita akan membuat keputusan sendiri berdasarkan prestasi semasa kita. Dan tahun lalu, saya yakin masa saya sudah sampai.

"Saya tidak kecewa mengambil keputusan tersebut malah lebih bersemangat kerana perjalanan karier baharu saya sebagai pengurus pasukan SIC Talent ZK Racing.

"Dengan tugasan baru ini, kehidupan saya sepenuhnya di SIC. Memang teruja kerana dapat berkongsi pengalaman bersama pelumba-pelumba muda berbakat yang berusia 14 hingga 20 tahun dalam mempelajari selok belok dunia permotoran," ujarnya kepada mStar Online.

Jelas Zulfahmi yang pernah menunggang jentera KTM Honda ketika beraksi dalam kategori Moto3 (2012-2015), impiannya untuk ke pentas dunia sudah tercapai.

"Mungkin bukan sebagai pelumba MotoGP, tetapi pengalaman beraksi di pentas berprestij dunia itu memberi seribu satu pengalaman berharga buat saya.

"Banyak pengalaman pahit manis dikutip sepanjang bergelar pelumba. Tetapi paling penting buat saya adalah kesetiaan SIC  yang sentiasa menyokong jatuh bangun saya sepanjang tempoh itu.

"Datuk Razlan Razali (Ketua Pegawai Eksekutif SIC) antara watak penting dalam kerjaya saya, kerana dengan kepercayaannya nama Zulfahmi berada di pentas dunia.

"Malah sehingga sekarang walaupun bukan lagi sebagai pelumba, beliau yakin segala pengalaman saya itu amat penting untuk dikongsi kepada pelumba-pelumba baharu," jelasnya yang gemar makan stik.

Fahmi bersama Razlan. Foto kredit: FB Zulfahmi

Selain sibuk dengan kerjaya baharunya itu, Zulfahmi tidak lupa dengan tanggung jawabnya sebagai seorang bapa.

"Anak lelaki saya, Zul Akif sudah berusia dua tahun. Selepas bersara ini, saya lebih kerap menghabiskan masa bersamanya dan dapat lihat perkembangan pembesaran anak dari masa ke semasa.

"Sebelum ini saya lebih banyak berada di luar negara, menjalani latihan dan perlumbaan.

"Jika diberi pilihan, saya tidak mahu Zul Akif terlibat dalam dunia permotoran. Biar dia memilih bidang atau minat berbeza.

"Saya tidak mahu dia melalui fasa perit bergelar seorang pelumba. Tetapi jika minatnya ke arah ini, saya juga tidak menghalang dan menyokong apa sahaja," jelas suami kepada Nuruldina Talhis ini.

Fahmi bersama buah hati pengarang jantungnya, Zul Akif. Foto kredit: FB Zulfahmi.

Selain itu, Zulfahmi meluahkan perasaan bangganya memandangkan kini ramai pelumba muda berbakat untuk dibawa ke tahap yang lebih tinggi.

"Kunci untuk sukses adalah komitmen dan disiplin. Pegang dua perkara ini, InsyaAllah semuanya akan lancar.

"Selain itu usaha dan sentiasa ada perasaan ini belajar sesuatu yang baharu dan daripada orang yang lebih berpengalaman," ujarnya yang bersama pasukan SIC Racing Team sebelum bersara. 

Zulfahmi Khairuddin, SIC

Artikel Lain