BINTANG muda yang sedang meningkat naik, Nik Akif Syahiran Nik Mat sentiasa cuba merebut setiap peluang di atas padang dengan sebaik-baiknya. Pemain tengah kelahiran Kelantan itu antara bakat baru yang menjadi perhatian peminat-peminat bola sepak tempatan sejak kebelakangan ini. Bakal mencecah usia 20 tahun pada Mei ini, Nik Akif tidak mahu toleh ke belakang lagi untuk mengejar impian sebagai pemain bola sepak profesional hingga peringkat tertinggi. Namun kesibukan sebagai pemain negeri serta kebangsaan, Nik Akif tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Menurut bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu, berkat doa dan sokongan ibu bapanya, Kartini Ahmad dan Nik Mat Yusof, dia mampu berada di kedudukan sekarang. Nik Akif (depan, dua dari kiri) bersama skuad Bawah 23 Tahun negara. Kesungguhannya terbukti apabila zaman remajanya diisi apabila diberi peluang menggilap bakat di sekolah sukan dari tingkatan 2 hingga 4, sebelum berpindah ke sekolah sukan di Kelantan, Sekolah Menengah Kebangsaan Putera ketika tingkatan 5. “Sejak kecil lagi saya memang suka main bola sepak, selepas belajar di sekolah sukan saya mula mewakili negeri dan fokus untuk sentiasa cuba memberi persembahan terbaik membolehkan saya diserapkan dalam skuad Bawah 19 Tahun,” ujar anak kedua daripada empat beradik ini. Menurut Nik Akif, selepas bergelar pemain muda profesional negara, dia tidak lupakan niatnya untuk menghadiahkan sesuatu kepada ibu bapanya. Nik Akif ketika beraksi untuk skuad Bawah 19 Tahun 2018. Foto kredit: Instagram Nik Akif “Saya tahu mereka mampu menjalani ibadat haji sendiri, tetapi saya niat nak hantar mereka ke Makkah menggunakan duit hasil titik peluh saya. “Bagi saya, ia akan menjadi perkara paling bermakna dalam hidup saya nanti kerana mereka telah banyak menyokong dan memberi semangat kepada saya dalam apa jua situasi sepanjang bergelar pemain bola sepak,” jelas anak kepada pemilik kilang kelapa sawit di Kuala Krai ini. Dalam pada itu, Nik Akif yang meminati motosikal klasik turut berkongsi pengalaman pahit manis bergelar pemain bola sepak negara. “Walaupun masih baharu menyarung jersi negara, tetapi banyak kenangan yang telah dirakam bersama. “Antara kenangan paling manis apabila skuad Bawah 19 muncul juara Piala AFF tahun lalu dan terkini, kenangan agak pahit bergelar pemain bola sepak apabila gagal melayakkan diri untuk Piala AFC Bawah 23 Tahun 2020,” ujarnya yang memilih hitam sebagai warna kegemarannya. Nik Akif bersama salah sebuah koleksi motosikal kesayangannya. Foto kredit: Nik Akif instagram Pemuda ini juga meletakkan matlamat untuk terus meningkatkan prestasi permainan bersama pasukan Kelantan dalam aksi Liga Perdana. “Saya mahu terus cuba membantu pasukan negeri untuk kembali ke Liga Super musim depan. “Ia juga penting kerana prestasi bersama Kelantan antara faktor utama saya terpilih mewakili negara,” kata Nik Akif yang menjadikan bintang Real Madrid, Luka Modric sebagai pemain idolanya. Mengenai minatnya terhadap motosikal klasik Nik Akif mengakui dalam 'proses' mengumpul duit untuk tambah koleksi. "Setakat ini baharu ada dua buah (Yamaha SR400), InsyaAllah bila duit dah cukup saya akan tambah lagi model lain," katanya.