suria

Dari libasan takraw Alice kini pengulas sukan selepas dinobat Ratu Cantik Sarawak, “Saya mahu teruskan impian bergelar polis”

PERSEPSI masyarakat mengenai acara sepak takraw hanya layak untuk lelaki kerana ia kelihatan lasak tidak tepat sama sekali.

Ini kerana sepak takraw sebenarnya ada kelembutan tersendiri dan ia satu acara yang dianggap istimewa bagi golongan wanita kerana tidak semua dapat menimbang bola takraw dengan baik.

Bagi kapten sepak takraw wanita kebangsaan, Alice Harun, dia menceburi sukan ini secara tidak sengaja.

"Sebenarnya acara sepak takraw ini saya sertai secara bidan terjun sahaja, mulanya saya aktif bermain bola baling.

"Secara suka-suka saya bermain sepak takraw dan selepas itu dipanggil menyertai kem bakat di Sabah. Bermula dari situlah saya dengan perlahan-lahan menjinakkan diri dalam sukan ini," jelas adik kepada bekas pemain kebangsaan Ronny Harun ini.

Skuad sepak takraw negara kini berada di Bangkok menyertai King's Cup.

Mengimbas kembali kariernya sebagai pemain sepak takraw, gadis berusia 26 tahun ini mengakui tidak mendapat restu daripada ibunya.

"Ibu saya, Halimah Kayak memang tak berapa suka saya main sepak takraw, dia selalu tanya bila nak balik Sabah. Namun dia tetap beri sokongan kalau saya sertai sebarang kejohanan.

"Sebenarnya saya merancang untuk bersara sebagai pemain sepak takraw kebangsaan selepas berkahirnya Sukan SEA di Filipina akhir tahun ini, rasanya sudah cukup lama saya bersama skuad negara, dan kini tiba masa untuk saya beri laluan kepada pemain-pemain muda," katanya.

Alice yang mula mewakili negara pada 2013 berkata, dia akan menjalani pembedahan lutut akibat kecederaan yang telah lama dialaminya.

Gadis dari suku Lunbawang ini memberitahu, selepas bersara sebagai atlet, dia ingin mencapai cita-citanya yang telah lama dipendam.

Aksi Alice  (tengah) ketika menjalani latihan sepak takraw. Foto kredit: Alice

"Saya ingin menjadi anggota polis. Kalau ada rezeki mungkin selepas ini saya akan memakai pakaian seragam yang memang sejak kecil saya inginkan.

"Apa yang saya tahu, memang dari kecil lagi saya mahu jadi polis.

"Selain itu saya juga akan menggunakan pengalaman saya sebagai pemain sepak takraw untuk dikongsi bersama bakat-bakat muda di Sabah.

"Memang selepas ini akan balik Sabah dan meneruskan karier sebagai jurulatih. Saya sudah memiliki sijil kejurulatihan dan akan membantu pasukan wanita Sabah," ujarnya memilih bihun sup sebagai makanan kegemaran.

Siapa sangka gadis yang kelihatan lasak di gelanggang ketika memberi servis kepada lawan ini sebenar adalah Ratu Cantik Sarawak 2018.

"Semua itu ibu saya yang daftarkan peryertaan, saya hanya masuk dan menang," ujarnya ringkas.

Alice dinobatkan Ratu Cantik Sarawak 2018. Foto kredit: Alice

Dalam pada itu, Alice juga gembira kerana dipilih sebagai pengulas Liga Sepak Takraw (STL) sejak tahun lalu.

"Memang satu pengalaman baharu buat saya. Mula-mula agak kekok juga, tetapi lama kelamaan setelah mendapat sokongan daripada rakan pengulas, Azlan Mubin, semua berjalan lancar, tetapi masih banyak lagi yang perlu diperbaiki," ujarnya.

Selain itu anak kelima daripada enam beradik ini turut menyasarkan pentas separuh akhir di Manila nanti dan nekad menebus kekecewaan pada Sukan SEA 2017 apabila terpaksa akur sekadar meraih pingat perak selepas tewas kepada Thailand dalam saingan antara regu.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan