SIAPA sangka aktiviti 'kampung' di waktu petang atau hujung minggu telah mengubah kehidupan anak muda ini apabila namanya kini makin gah dipersada dunia. Bermula sekadar suka-suka ingin mencuba, akhirnya Muhammad Safuan Mohd Asif terus jatuh cinta dengan acara gusti lengan yang memang menjadi sukan 'wajib' keluarganya. Anak keempat kelahiran Klang, Selangor itu mula terjebak dalam sukan itu apabila diajak berlatih dengan pakciknya yang juga juara kampung acara berkenaan, tetapi siapa sangka dia sendiri tidak sedar bakal menjadi antara atlet terbaik dunia. Selepas latihan bersama Nor Azmi Parman dan dua tahun mencuba, Safuan muncul juara Kampung Tok Muda, Kapar, sekali gus menjadi titik permulaan untuk lebih serius menceburi sukan itu. "Semua adik beradik saya seramai enam orang memang aktif gusti lengan ini. Cuma saya bernasib baik berpeluang ke peringkat dunia agak cepat kerana bermula lebih awal. Safuan (kiri) bersama rakan negara, Chia Jun Kit. "Arwah ayah (Mohd Asif Othman) sebelum ini juga aktif bersukan sebagai jurulatih bola sepak. "Jadi darah sukan memang mengalir ke jiwa kami sekeluarga walaupun acara berlainan," ujarnya yang mendapat suntikan semangat dan dorongan daripada ibunya, Surinah Parmah, 50 sejak pemergian ayahnya pada 2007. Tambah Safuan kepada mStar, bermula dengan gelaran juara kampung itulah bakatnya dikembangkan hingga dipilih mewakili Selangor selepas bakatnya dikesan Persatuan Sukan Lengan Selangor sebelum diberi peluang bersaing di peringkat kebangsaan. "Saya sebenarnya tidak pernah terfikir akan bermain hingga ke tahap ini, mungkin sukan ini tidak begitu mendapat sambutan di meluas di negara ini, tetapi sebenarnya ramai atlet kita yang berjaya di peringkat dunia. Ibu Safuan, Surinah. Fto kredit: Instagram Safuan "Tetapi sekarang, saya gembira kerana ia semakin mendapat sambutan dengan pelbagai publisiti serta kejohanan peringkat kebangsaan dianjurkan," ujar atlet berusia 22 tahun ini yang aktif dalam acara itu selepas tamat persekolahan di tingkatan lima hingga mewakili negara bermula 2016. Kata Safuan, banyak kenangan dirakam sepanjang bergiat dalam sukan gusti lengan ini, termasuk ketika menyertai Kejohanan Dunia di Antalya, Turki tahun lalu yang meletakkan namanya pada kedudukan lapan terbaik dunia bagi acara 60 kilogram (kg). “Tahun ini impian saya untuk menduduki tiga teratas pada Kejohanan Dunia di Poland, Disember ini. Safuan (empat dr kanan) bersama pasukan negara. Foto kredit: Instagram Safuan "InsyAllah saya boleh lakukannya, asas penting dalam sukan ini adalah teknik yang betul, kekuatan otot dan menjaga pemakanan," katanya yang mahu merangkul gelaran juara pada aksi pemanas badan di Terbuka China di Shenzen, bulan depan. Mengenai latihan pula, kata Safuan, dia akan menjalani latihan tiga atau empat kali seminggu di Shah Alam bagi memastikan sentiasa berada dalam keadaan bersedia lebih-lebih lagi kerana kini bermain dalam kategori baharu 56kg. "Walaupun bekerja, saya gembira kerana majikan iaitu Tenaga Nasional Berhad memberi sokongan sepanjang saya bergiat aktif acara sukan ini," tambahnya yang mengidam gelaran juara dunia satu hari nanti.