ERA kegemilangan Datuk Mohammad Razif Mohd Sidek dalam acara sukan badminton sudah pun berlalu, namun namanya tetap diingati hingga ke hari ini sebagai pemain legenda negara. Malahan, Razif antara legenda badminton tanah air yang pernah meraih pingat gangsa ketika beraksi di Sukan Olimpik Barcelona 1992. Nyata darah sukan badminton yang mengalir dalam tubuhnya tidak terhenti begitu sahaja walaupun beliau telah mengambil keputusan menggantung raket sebagai pemain. Kini auranya dapat dilihat pada anak bongsunya yang berusia 15 tahun dalam perjalanan mencipta nama sebagai pemain terkenal dunia. Fazriq (tengah) bersama kedua ibu bapanya. Foto kredit: Instagram Fazriq Bagi peminat badminton tanah air, nama Muhammad Fazriq kini dianggap antara pemain perseorangan dan beregu yang sedang meningkat naik dan mempunyai masa depan yang cerah untuk mencipta nama di mata dunia. Masih segar rangkulan pingat emas pada Kejohanan Dunia Jemputan Bawah 15 tahun di Jepun awal bulan lalu, Fazriq kini lebih bersemangat untuk meneruskan karier sebagai pemain profesional. Ketika menjulang trofi kejayaan itu, Fazriq memberitahu dia mahu menjadi watak utama dalam sukan ini. “Saya mahu jadi seseorang di arena ini. Perkembangan terkini baik tetapi saya perlu tingkatkan mutu permainan. Keluarga menjadi tulang belakang dalam karier Fazriq. Foto kredit: Instagram Fazriq. “Agak memenatkan kerana perlu bermain dua kategori tetapi ia merupakan satu cabaran yang perlu saya hadapi sebelum memutuskan untuk memilih salah satu daripadanya,” ujar anak jati Kuala Lumpur ini. Mengimbas kembali kariernya, Fazriq memberitahu dia berminat badminton apabila selalu melihat bapanya bermain sukan itu sejak dia berusia lima tahun dan mula masuk gelanggang dua tahun kemudian. “Pelbagai kenangan yang saya tempuhi. Tetapi apa yang membuatkan saya lebih konsisten adalah kerana sokongan penuh keluarga. “Bapa saya selalu berpesan supaya buat yang terbaik dalam setiap perlawanan. Kata-kata itulah yang saya pegang sampai ke hari ini. “Perjalanan masih jauh tetapi saya mahu mencapai impian untuk meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik satu hari nanti,” jelasnya yang menjadikan pemain legenda Indonesia Taufik Hidayat sebagai idolanya. Fazriq mengimpikan pingat emas Sukan Olimpik satu hari nanti. Foto kredit: Instagram Fazriq. Remaja yang mudah tersenyum mesra ini turut berkongsi kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang bermain di peringkat kebangsaan. “Saya tewas ketika Kejohanan Bawah 18 Tahun Kebangsaan sebelum ini, tetapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk bangkit dan perbaiki kelemahan. “Dan sudah tentu kejayaan bergelar juara dunia di Jepun baru-baru merupakan kenangan paling manis saya setakat ini,” jelas Fazriq yang suka berenang pada waktu lapangnya. Sebelum bergelar pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Fazriq pernah beraksi untuk kelab Maharani Badminton di bawah sentuhan bekas pemain negara ,Yap Kim Seng pada 2017. Ketika itu dia turut bersaing dalam Junior Purple League (JPL) dalam acara beregu. Kini selepas melakar pelbagai kejuaraan remaja kebangsaan, Fazriq sedia untuk melangkah lebih jauh lagi.