AKSI lincah Nur Airis Rania Nazwan Adlin ketika berada di gelanggang ais Stadium Luncur Ais Kebangsaan (MyNISS) yang terletak di Empire City, Damansara Perdana cukup memukau. Maka tidak hairan, pada usia 10 tahun, Airis sudah menempa pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara sejak melibatkan diri secara serius dalam sukan itu sekitar empat tahun lalu. Sehingga kini, Airis sudah merangkul lebih 30 pingat emas dan perak menerusi beberapa pertandingan yang disertainya dan kebanyakannya diadakan di luar negara seperti Skate Asia Jakarta 2017, ISI Asia Championship Series 2017, Skate Asia 2018 Bangkok dan Skate National Figure Skating Championship 2017. Antara aksi Airis ketika berada di gelanggang ais. Lebih membanggakan, Airis kini berada di kedudukan kedua ISI Asia Championship 2018 dan pernah dipilih sebagai wakil Icescape Ice Rink untuk mengadakan persembahan pembukaan dan penutup pada Sukan Sea Kuala Lumpur pada 2017. Seorang pemalu dan manja Di sebalik pelbagai kejayaannya itu, Airis yang ditemui baru-baru ini ternyata seperti kanak-kanak lain yang pemalu dan manja apabila terus menuju ke sisi ibunya, Shahila Mohd Sharif sejurus keluar daripada gelanggang ais. Namun semangat juangnya dapat dirasai apabila dia mengakui sukan luncur ais membuatkan dirinya gembira dan berasa bebas setiap kali berada di gelanggang. Selain itu, kejayaan dikecapinya itu bukan sahaja kerana minat mendalamnya terhadap sukan itu tetapi kedua ibu bapanya adalah faktor utama. Ibu pendorong terbesar Airis dalam sukan luncur ais. "Setiap kali saya masuk ke gelanggang saya berasa bebas dan sangat gembira... apabila bertanding pula saya akan terbayangkan wajah kedua ibu bapa yang sudah sudah banyak berkorban untuk meletakkan saya di kedudukan sekarang. "Sebab itu, saya selalu beritahu kepada diri sendiri, saya mesti bawa pulang pingat sebagai tanda terima kasih kepada mereka," katanya. Dorongan itu juga kata Shahila telah membuatkan anak kesayangannya itu enggan menarik diri daripada pertandingan Skate Asia 2018 di Bangkok, Thailand tahun lalu walaupun Airis mengalami kecederaan. Kata Shahila, kecederaan Airis ketika itu agak serius namun kerana kesungguhannya, dia akhirnya membenarkan anak kesayangannya itu meneruskan pertandingan selepas menjalani rawatan dan diberi ubat tahan sakit. Seorang pemalu dan manja namun Airis bertukar lincah apabila memasuki gelanggang ais. "Dia menangis merayu mahu meneruskan pertandingan walaupun jurulatih dan suami minta dia menarik diri tetapi dia kata mahu teruskan sebab nak balas jasa saya dan suami. "Dia mahu pulang bersama trofi untuk diberikan kepada bapanya dan bukan datang sebagai penonton," katanya. Ternyata risiko diambil Airis itu berbaloi apabila dia berjaya membawa pulang lapan pingat emas menerusi beberapa kategori pada pertandingan itu. "Saya mahu ibu bapa bangga... malah saya menyimpan hasrat untuk bertanding di Sukan Olimpik suatu hari nanti," kata Airis sambil memeluk ibunya. Airis bersama dua jurulatihnya, Dian Mahussin (kiri) dan Ancio Van Tonder. Berlatih lebih lima jam, kostum merah bawa tuah Bercakap mengenai rutin latihannya, Airis berkata, kebiasaannya dia akan berlatih hampir lima ke enam jam bagi memastikan dapat menguasai sesuatu teknik dengan baik. Katanya, teknik Ice Spin, Spiral dan Double Flip adalah rutin kegemarannya, manakala Double Flip dan Double Toe antara paling sukar setakat ini. "Saya tidak pernah fikir ia sesuatu yang sukar sebaliknya ia menyeronokkan dan saya dapat ramai kawan di sini. "Jika ada pertandingan kebiasaannya saya akan lebih kerap berlatih bersama jurulatih sebagai persediaan," ujarnya. Airis membuktikan dia serius sebagai atlit luncur ais apabila berjaya merangkul lebih 30 trofi. Sudah tentu bahagian paling digemarinya adalah kostum ketika beraksi di gelanggang, dan kata Airis setakat ini dia mempunyai lebih 10 kostum. "Kostum akan buatkan saya lebih berkeyakinan malah saya ada sehelai kostum berwarna merah yang menjadi kegemaran dan saya anggap ia bawa tuah. "Walaupun kostum itu sudah tidak muat, saya masih simpan sebagai kenangan," katanya. Sementara itu, Shahila berkata, sebagai ibu dia akan sentiasa memberikan sokongan seratus peratus kepada minat anaknya itu yang pada awalnya hanya sekadar suka-suka. Airis menyimpan hasrat untuk bergelar atlit sukan Olimpik suatu hari nanti. Pun begitu kata Shahila, walaupun Airis banyak menghabiskan masa di gelanggang ais bersama jurulatih namun dia akan memastikan anak kesayangannya itu masih menjalani kehidupan seperti kanak-kanak dan remaja lain. "Biasanya setiap Jumaat memang hari cuti daripada melakukan sebarang aktiviti luar selain ada juga dia berkumpul bersama rakan-rakan sekolah. "Dia juga kanak-kanak biasa yang ada permintaan dan kehendak selain adakalanya moody tetapi Alhamdulillah setakat ini dia bijak membawa dirinya kerana sukan luncur ais itu adalah minatnya," katanya.