"KALAU ikutkan hati sedih selepas kehilangan ayah, memang saya rasa nak berhenti menembak," demikian kongsi penembak senior negara Muhammad Ezuan Nasir Khan. Ternyata permulaan tahun ini tidak begitu lancar bagi atlet menembak negara berusia 30 tahun ini apabila kehilangan ayah tercinta pada 16 Januari lalu kerana mengalami masalah jantung. Pastinya momen menyedihkan itu bagai episod hitam pada dirinya lebih-lebih lagi arwah ayahnya, Nasir Khan Abdul Rahman adalah individu pertama yang membawanya ke dunia sukan menembak. Mengimbas kembali karier awalnya, atlet yang masih bujang ini memberitahu segalanya bermula pada 2002 ketika berada di awal sekolah menengah. Ezuan fokus untuk dua kejohanan penting tahun ini. "Pada mulanya hanya untuk suka-suka. Di sekolah ada juga acara sukan lain yang saya aktif seperti bola tetapi hati lebih dekat dengan sukan menembak. "Ketika itu ayah banyak memberi sokongan dan menghantar saya ke kelas menambak. "Dalam tempoh dua tahun, nama saya mula naik dan setahun kemudian saya menerima tawaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil," ujarnya jejaka kacak ini memulakan bicara bersama mStar. Menurut anak sulung daripada empat beradik ini, minatnya dalam acara ini semakin mendalam hingga berjaya mewakili skuad negara. Ezuan (kiri belakang) beraya bersama keluarga buat kali pertama tanpa ayah disisi. "Sepanjang tempoh itu, ayah selalu ada dan setiap hari dia akan telefon bertanyakan khabar tentang latihan dan sebagainya. "Jatuh bangun saya sepanjang bergelar atlet ini ayah sentiasa ada bersama. Jadi apabila dia 'pergi' buat selama-lamanya, saya memang hilang arah. "Memang sangat terkesan, lebih-lebih lagi 2 Julai adalah hari lahirnya yang ke-61 tahun," jelas Ezuan yang menyambut hari lahirnya yang ke-30 pada 31 Januari lalu. Pemergian ayahnya itu telah membuatkan Ezuan pernah terdetik untuk berhenti daripada bergelar atlet. "Saya memang tidak ada semangat. Sampai satu tahap saya terfikir, buat apa lagi menembak...ayah dah tak ada, perform nak tunjuk kat siapa? Ezuan antara atlet menembak prospek emas negara. "Tetapi apabila fikir balik, saya menyedari bahawa tidak boleh terus bersedih. Saya perlu bangkit untuk menjaga keluarga saya, sebab tanggungjawab menjaga mak, Rohaya Tak dan adik-adik kini di bahu saya. "Ibu yang berusia 56 tahun sebelum ini turut dalam keadaan sedih, tetapi saya dan adik beradik yang lain selalu pastikan dia tidak keseorangan kerana risau akan terus bersedih. "Mujur ibu saya bekerja, jadi masa diisi dengan tugas-tugasnya di pejabat, selain ramai saudara mara tinggal berdekatan kami di Kampung Baru. "Alhamdullilah setakat ini semuanya lancar, lebih-lebih lagi adik beradik dan kawan-kawan berterusan memberi semangat untuk saya kembali berjuang bagi mengharumkan nama negara," ujarnya yang berkhidmat bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Pemegang pingat emas Sukan SEA KL2017 ini memberitahu, bermula bulan ini sehingga hujung tahun jadual hariannya padat dengan latihan dan pelbagai kejohanan. Ezuan fokus untuk misi kelayakan ke Sukan Olimpik November ini. "Fokus saya kali ini adalah kelayakan Sukan Olimpik di Doha serta Sukan SEA pada November di mana di Filipina saya akan cuba pertahankan pingat emas walaupun akan beraksi dalam kategeri berbeza iaitu 10 meter air pistol. "Sebelum ini lebih kepada acara 50 meter rifle prone, tetapi ia tidak menjadi masalah kerana saya bermula karier dengan acara 10m air pistol," tambahnya yang gemar memakan laksa dan masakan pedas. Sebagai rekod, Ezuan merupakan atlet pertama negara yang meraih pingat perak pada Sukan Asia di Incheon dalam acara ini. Malah kemenangan pingat emas di KL2017 itu juga merupakan sejarah buat negara memandangkan sebelum tidak pernah terukir nama atlet Malaysia memenangi emas dalam acara 50m rifle prone.